LONDON - Penyerang Manchester United, Wayne Rooney mengucapkan terima kasih kepada jurulatih England, Roy Hodgson yang masih memberi kepercayaan kepadanya.
Hodgson tetap menyenaraikan Rooney selaku penyerang utama England pada satu aksi persahabatan menentang Scotland di Stadium Wembley, Rabu ini.
Rooney yang tersisih sepanjang aksi pra-musim akibat kecederaan hamstring dan bahu dilaporkan ingin menyertai seteru utama United, Chelsea sebelum musim perpindahan pemain ditutup akhir bulan ini.
Rooney turut terlepas aksi persahabatan United menentang Sevilla di Old Trafford yang menyaksikan mereka tewas 1-3.
Penyerang berusia 27 tahun itu mula melahirkan keinginan untuk meninggalkan Old Trafford pada musim lalu apabila bekas pengurus United, Alex Ferguson sekadar menjadikannya pilihan kedua di belakang penyerang Belanda, Robin van Persie.
Namun, sejak ketibaan David Moyes, fikiran Rooney tetap tidak berubah dan bertekad untuk meninggalkan The Red Devils.
Sementara itu, Hodgson menegaskan, beliau telah bercakap dengan Rooney dan Moyes sebelum dia mendedahkan senarai penuh skuad bimbingannya.
"Saya tidak sabar untuk beraksi bersama skuad England dan berharap untuk bermain lebih banyak perlawanan kompetitif pada musim ini.
"Jutaan terima kasih buat Hodgson kerana memilih saya dan masih memberi kepercayaan terhadap saya. Saya sangat menghargai kepercayaan dan sokongan beliau," kata Rooney.
- AFP
0 Komentar untuk "Rooney ucap terima kasih kepada Hodgson"