ShareThis to the world!

Tergelincir selepas bermain

Jertih: Seorang bapa tidak menyangka mimpi anaknya terjatuh ke dalam sungai yang hanya dianggap sebagai mainan tidur menjadi kenyataan apabila anaknya ditemui lemas di Sungai Kampung Bukit Payong, Pasir Akar, di sini, kelmarin.
Mayat mangsa, Mohammad Alif Haikal Mat Arif, 6, ditemui bapanya, Mat Arif Dollah, 30, bersama penduduk kampung jam 3 petang ketika mencari mangsa yang tidak pulang ke rumahnya selepas keluar bermain jam 11 pagi.
Difahamkan, mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik keluar bermain bersama beberapa rakannya tidak jauh dari rumahnya.
Bagaimanapun, selepas satu jam bermain, mangsa yang juga kanak-kanak lembam membuang air besar di dalam semak sebelum rakannya menyuruh dia balik ke rumah.
Mangsa bagaimanapun dipercayai tidak pulang ke rumah sebaliknya singgah di sungai berkenaan untuk membersihkan diri selepas membuang air besar sebelum tergelincir ke dalam sungai itu.
Kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah untuk makan tengah hari menyebabkan bapanya mencari anaknya sebelum menemui basikal arwah di tepi sungai kira-kira 120 meter dari rumahnya.
Mat Arif berkata, dia ada bermimpi arwah jatuh ke dalam sungai itu tiga hari sebelum kejadian itu dan mula berasa tidak sedap hati sebaik melihat basikal anaknya di tepi sungai berkenaan sebelum segera mencari anaknya.
“Perasaan curiga sesuatu yang buruk menimpa arwah terjawab apabila arwah ditemui tidak bernyawa tidak lama kemudian.
“Siapa sangka mimpi yang disangka mainan tidur itu menjadi kenyataan dengan insiden menimpa arwah,” katanya sambil memaklumkan arwah tidak pandai berenang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.
Katanya, tiada sebarang unsur jenayah di sebalik kejadian ini dan kes diklasifikasikan mati mengejut.


sumber:hmetro.com
0 Komentar untuk "Tergelincir selepas bermain"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info