ShareThis to the world!

Keluarga pembaca berita TV3 disamun

KUALA LUMPUR: Suami kepada pembaca berita TV3, Azawate Zenol Abidin cedera selepas diserang dua lelaki yang bertindak menyamunnya di hadapan rumah di Kota Damansara dekat sini.
Difahamkan, mangsa diserang dua lelaki tempatan ketika dia bersama Azawate dan tiga lagi anaknya hendak keluar rumah, kira-kira jam 8.45 malam tadi. 

Menurut Azawate, ketika kejadian, suaminya Raqizal Khalis Husni berada di luar rumah bersama dua anak lelakinya yang berusia 2 serta empat tahun manakala dia sedang memangku anak bongsunya yang berusia sembilan bulan di kawasan tempat letak kereta.

“Ketika itu hujan renyai-renyai dan suami telah menghantar dua anak lelaki saya masuk ke dalam kereta terlebih dahulu sebelum mahu membawa payung untuk mengambil saya dan bayi.

“Dua motosikal yang dinaiki empat lelaki tiba-tiba datang dan dua lelaki turun lalu meluru ke arah suami yang ketika itu mahu datang kepada saya. 

“Kejadian itu berlaku di depan mata saya dan saya sempat melihat dua daripada mereka menyerang suami dengan batang besi serta satu buku lima. Dua lagi rakan mereka hanya berada di atas motosikal,” katanya, semalam. 

Mengulas lanjut, Azawate yang terkenal dengan program Berita Utama memberitahu, dia tidak dapat melakukan apa-apa selain menjerit meminta tolong dengan sekuat hati. 

“Kejadian berlaku sepantas kilat dan saya hanya mampu menjerit kerana begitu terkejut apabila suami diserang dengan tiba-tiba. 

“Ikutkan hati memang saya mahu meluru ke arah suami namun adik lelaki yang ketika itu berada di dalam rumah terus mengarahkan saya masuk ke dalam rumah dan dia menelefon polis,” katanya. 

Beliau berkata, individu yang menyerang suaminya hanya mahukan wang dan mengarahkan suaminya itu tidak membuat sebarang tindakan jika tidak mahu dicederakan. 

“Suami saya hanya bimbangkan keselamatan dua anak lelaki saya di dalam kereta dan dia risau jika penjenayah itu mahu melarikan kenderaan itu memandangkan enjin kereta dihidupkan ketika kejadian. 

“Kami bersyukur kerana selepas suami menghulurkan dompet, suspek itu segera melarikan diri dan tambahan lagi jiran-jiran terus keluar rumah apabila mendengar jeritan saya,” katanya. 

Azawate menjelaskan, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Damansara dan kerugian yang dialami mereka sekeluarga tidak sampai RM100 sahaja.


sumber:hmetro.com
0 Komentar untuk "Keluarga pembaca berita TV3 disamun"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info