ShareThis to the world!

Rakyat Kita Sah Maut Dalam Serangan Berani Mati Di Kabul



KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia disahkan terbunuh dalam serangan berani mati di sebuah restoran di Kabul, Afghanistan Jumaat lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang mengesahkan perkara itu berkata maklumat rasmi berhubung latar belakang mangsa hanya dapat dikeluarkan setelah saudara terdekat mangsa dimaklumkan mengenainya.

“Buat masa ini Wisma Putra sedang dalam proses menghubungi ahli keluarga terdekat mangsa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian serangan berani mati dan tembakan rambang di sebuah restoran di ibu negara Afghanistan pada Jumaat, sekurang-kurangnya 21 orang dilapor terbunuh termasuk empat kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Agensi berita AFP melaporkan rakyat Malaysia yang terkorban itu bertugas sebagai perunding kepada Kementerian Kewangan Afghanistan.

Sementara itu, mengulas mengenai dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden untuk siasatan kerana memukul tangan seorang daripada anak yang tidak bersolat, Anifah berkata belum ada perkembangan terbaharu mengenai perkara itu.

“Tahanan reman dilanjutkan, jadi ia tertakluk kepada mahkamah di sana. Kami telah lakukan apa yang boleh tertakluk kepada peraturan dan undang undang mereka.

“Di Wisma Putra kami perlu mengikut saluran tertentu (dalam mengambil sesuatu tindakan),” katanya. – BERNAMA
0 Komentar untuk "Rakyat Kita Sah Maut Dalam Serangan Berani Mati Di Kabul"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info