ShareThis to the world!

VIDEO: Akibat Pentingkan Diri, Kereta ‘Ah Soo’ Kena Pecah!



Beberapa hari lalu, sebuah video menunjukkan bagaimana trak pacuan 4 roda mengundur lalu menghentam kereta Perodua MyVi yang diletakkan di belakang kenderaan tersebut untuk keluar parkir menjadi viral di internet.

Insiden yang dirakamkan di Scott Garden, Jalan Klang Lama itu berlaku apabila pemandu kenderaan hadapan berasa geram kerana mengalami kesukaran untuk keluar dari parkir setelah kenderaannya dihalang. Tuan kenderaan yang menghalang pula, hilang entah ke mana.

Rupa-rupanya bukan di Kuala Lumpur sahaja, satu lagi rakaman lebih kurang sama berlaku dua hari selepas kejadian di Scott Garden dan turut menjadi viral selepas dikongsi di laman sosial.

Kali ini kejadian berlaku di Plaza Damai, Kota Kinabalu, Sabah yang turut berpunca daripada ‘double’ parkir hingga menyusahkan kenderaan lain hendak keluar.

Selepas hon dibunyikan lebih kurang 20 minit tetapi pemandu kereta yang menghalang tak muncul-muncul, akhirnya cermin kenderaan tersebut dipecahkan oleh seorang pemandu untuk memasukinya bagi menurunkan brek tangan.

Sebelum tindakan drastik itu, terdapat pemandu lain yang mahu keluar parkir dilihat meninjau-ninjau ke dalam kereta yang menghalang laluan jika ada sebarang nota seperti nombor telefon untuk dihubungi tetapi tidak ada.

Selepas dipecahkan cermin, kereta yang menjadi mangsa tersebut ‘terbiar’ agak lama juga hinggalah pemandunya muncul iaitu seorang wanita bersama anaknya yang memakai uniform sekolah.

Wanita itu kelihatan terkejut melihat keadaan keretanya tetapi tidak ada apa boleh dilakukan lagi.

Pengajarannya, jika terpaksa ‘double’ parkir janganlah lupa menurunkan brek tangan supaya kereta anda boleh ditolak atau tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi.

Jika tidak, kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan elok sudah remuk sebaik anda tiba gara-gara menjadi mangsa individu yang kurang sabar. – REM RAMZI


0 Komentar untuk "VIDEO: Akibat Pentingkan Diri, Kereta ‘Ah Soo’ Kena Pecah!"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info