ShareThis to the world!

Idam watak pelacur

Meskipun sudah beberapa kali memegang watak utama dalam drama, pelakon yang semakin meningkat naik, Nur Risteena Munim atau Risteena, 25, mengakui belum mendapat watak diidamkan.
Mengidamkan watak sebagai pelacur, Risteena berkata, ia bakal terlaksana apabila dia ditawarkan melakonkan watak berkenaan melalui sebuah drama terbitan stesen TV3 yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.
Bakal bergandingan dengan Tasha Shila, Risteena mengakui ia bukanlah watak yang mudah apatah lagi tidak semua pelakon mampu memainkan peranan sebagai pelacur. Tambahan pula ada segelintir penonton yang tidak suka.

“Alhamdulillah, perjalanan seni lakonan saya semakin berkembang dan tidak dinafikan banyak tawaran berlakon saya terima. Walaupun sering mendapat watak perempuan baik-baik, saya tetap berpeluang mencuba watak mencabar.
Foto
Risteena bergandingan dengan Zoey, Shukri dan Talha dalam Plan B.

“Selain diberikan watak antagonis dalam drama bersiri terbaru TV3 untuk Slot Aksi berjudul Plan B, saya tidak sabar untuk ke lokasi penggambaran drama TV3 untuk membawa watak sebagai pelacur.

“Ini watak yang sudah lama saya impikan. Walaupun saya tahu watak ini sangat sukar, saya mahu mencabar diri untuk menjadi pelakon serba boleh. Namun, saya tetap menjaga batas supaya watak pelacur ini tidak disalahertikan penonton,” kata pelakon Menjinak Ombak ini.

Bercerita mengenai wataknya dalam Plan B, Risteena berkata, pada mulanya dia berniat memotong rambut bagi menampakkan wataknya sebagai Iris lebih berkesan, namun memikirkan akan mengalami masalah berlakon drama lain jika berambut pendek, dia terpaksa memakai rambut palsu.

Katanya lagi, bagi menghidupkan wataknya dalam cerita ini dia menjadikan aktres Hollywood, Angelina Jolie dan Jodie Foster sebagai rujukan sebelum melakukan penggambaran.

“Apabila ditawarkan berlakon dalam Plan B dan membaca watak saya, terus berasa teruja dan tidak sabar untuk melakonkannya. Pada saya watak ini memang berlainan daripada watak pernah saya bawa sebelum ini.

“Jika di dalam drama Menjinak Ombak dan Playboy Itu Suami Aku, watak saya lebih kurang sama, dalam Plan B saya menjadi seorang wanita lasak yang pendendam dan kononnya baik sedangkan berhasrat untuk menghuru harakan persahabatan tiga sekawan.

“Memang berlainan sangat dengan watak yang pernah saya jayakan sebelum ini. Namun, berkat sokongan kru dan teman, saya gembira ia berjaya dilakukan. Malah, rambut pendek yang saya gunakan juga benar-benar kena dengan karakter yang saya jayakan sebagai wanita pelumba kereta,” katanya.

Plan B bakal bersiaran menerusi saluran TV3 bermula 19 Ogos 2014 pada setiap Selasa, jam 10 malam. Drama bersiri arahan Feroz Kadir ini turut menyaksikan gandingan barisan pelakon seperti Shukri Yahaya, Talha Harith, Zoey Rahman, Mikael Andre, Faezah Ul Haq dan Beto Kusyairy.


sumber:mymetro.com
0 Komentar untuk "Idam watak pelacur"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info