ShareThis to the world!

Ulang semula Matematik, Bahasa Tamil

Putrajaya: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 perlu menduduki semula kertas Matematik kod 015/1, 025/1 dan 035/1 serta Bahasa Tamil kod 036 dan 037 pada 9 Oktober ini selepas disahkan berlaku kebocoran kertas soalan berkenaan.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, berikutan itu, kedua-dua kertas yang diduduki pada 10 September lalu adalah terbatal. 
Menurutnya, pemilihan tarikh 9 Oktober bagi menduduki semula kertas soalan itu selepas mengambil kira cuti umum hari raya Aidiladha dan aspek logistik iaitu percetakan dan pengedaran. 

"Kementerian Pendidikan menegaskan peperiksaan ini dilaksanakan semula bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard yang sudah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR itu.
Foto

"Saya memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi semua. Selaku Ketua Pengarah Pelajaran, saya memohon maaf kepada murid, ibu bapa, guru dan semua terbabit ekoran insiden ini.

"Saya sudah pun mengarahkan semua guru besar dan guru untuk mengenal pasti dan memberi khidmat kaunseling kepada murid yang memerlukan," katanya pada sidang media, hari ini. 

Dalam pada itu, Dr Khair berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa tiada lagi kertas peperiksaan UPSR lain yang akan diduduki semula setakat hari ini. 

Sebelum ini, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan selepas murid menduduki peperiksaan itu pada Khamis lalu manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan sebelum mereka mengambilnya pada hari berkenaan. 

Lembaga Peperiksaan menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baru bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu. 

Susulan kes kebocoran itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai. 

Polis juga menahan reman seramai 14 individu membabitkan guru besar, guru, ejen insurans dan jurutera dan semuanya sudah dibebaskan manakala hasil siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserah kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
0 Komentar untuk "Ulang semula Matematik, Bahasa Tamil"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info