ShareThis to the world!

Bayangan jemputan ajal

Mersing: “Aku nak serah permit teksi ini kepada kamu. Kalau aku meninggal dunia, senang sikit sebab dah proses,” itu kata terakhir Ahmad Zaudin Adon, 73, kepada anak bongsunya, Mohd Firus, 32, sebelum dia meninggal dunia akibat ditikam di kilometer 17, Jalan Mersing-Kluang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, Ahmad Zaudin mengambil dua penumpang masing-masing seorang lelaki berusia 35 tahun dan seorang wanita berumur 30-an di sebuah hotel di bandar Mersing sebelum menghantar kedua-duanya ke Kluang. 
Tiba di lokasi kejadian, penumpang lelaki terbabit bergelut dengan mangsa sebelum menikam perut kiri warga emas berkenaan dengan senjata tajam menyebabkan Ahmad Zaudin meninggal dunia. 

Suspek dan wanita terbabit menahan teksi lain sebelum meminta dihantar ke Kluang. Bagaimanapun, kedua-duanya ditahan polis empat jam selepas kejadian di Kampung Seri Cahaya, Kluang.
Foto
MOHD Firus menunjukkan gambar terakhir bersama bapanya.

Menurut Mohd Firus, dalam pertemuan terakhir mereka pada 27 Januari lalu di rumah keluarga di Taman Nelayan di sini, bapanya beria-ia hendak memindah milik permit teksi kepadanya.

“Saya tinggal di Seremban, Negeri Sembilan dan bapa beria-ia meminta saya pulang ke kampung untuk berbincang berkaitan perkara ini. 

“Saya pulang dan kemudiannya membantu proses memindah milik permit teksi sebelum pulang semula ke Seremban. 

“Saya tidak sangka permintaan bapa itu petanda dia pergi selamanya,” katanya. 

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, dia terkejut dimaklumkan kejadian oleh ahli keluarga pada tengah hari kelmarin sebelum bergegas pulang. 

“Saya reda dengan kejadian dan bersyukur selepas polis berjaya menahan suspek yang menikam bapa. Kami harap penjenayah yang melakukan perbuatan ini dikenakan hukuman yang setimpal,” katanya. 

Anak sulung mangsa, Noridah, 49, berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya ialah pada Ahad lalu ketika arwah singgah di kediamannya di Johor Bahru

Menurut Noridah, pada pertemuan itu, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan selain tidak meminta apa-apa daripadanya. 

“Bagaimanapun, bapa bersungguh-sungguh menceritakan kepada saya bahawa dia mahu memindah milik permit teksi kepada Mohd Firus. 

“Mungkin bapa tahu dia akan pergi selamanya dan begitu bersungguh-sungguh mahu memindah milik permit teksinya,” katanya.



sumber: hmtero.com

Related Post

0 Komentar untuk "Bayangan jemputan ajal"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info