ShareThis to the world!

Anak David Beckham Buat Kerja Sambilan

Brooklyn kini bekerja secara sambilan dengan pengarah terkenal, Guy Ritchie di London.

BERITA mengenai anak sulung pasangan David dan Victoria Beckham yang bekerja setiap hujung minggu di sebuah kafe di Barat London sebelum ini mendapat perhatian dunia.

Terbaharu, Brooklyn Beckham, 15, dilaporkan bekerja sambilan di pejabat pengarah filem terkenal, Guy Ritchie yang juga rakan baik kepada David.

Daily Mail melaporkan, Brooklyn bekerja selama lima jam setiap hari dan setiap pagi David sendiri akan menghantar anaknya itu ke pejabat dan menjemput selepas dia selesai bekerja.

Brooklyn juga seorang yang ringan tulang membantu menjaga adik bongsunya, Harper.

Bagaimanapun tidak diketahui apakah jenis kerja yang dilakukan oleh Brooklyn namun dia dikatakan menjadi pembantu Guy menguruskan hal-hal pejabat.

David dalam satu temubual sebelum ini memberitahu dia mahu anak-anaknya bekerja secara sambilan untuk memperolehi wang saku supaya mereka tahu menghargai nilai wang untuk menyara hidup.

"Kami cuba membina keluarga ini dengan memberi teladan yang baik iaitu dengan menunjukkan kepada mereka (anak-anak) akan pentingnya bekerja keras untuk berjaya dalam hidup," katanya.

Dalam pada itu, sumber terdekat keluarga itu memuji sikap anak-anak pasangan itu yang dibesarkan dengan penuh nilai murni dan adab sopan sehingga mereka disenangi oleh semua pihak.

Keluarga bahagia pasangan David dan Victoria.

Kata sumber itu, sikap yang ditonjolkan mereka itu jarang dimiliki oleh anak-anak selebriti terkenal lain yang rata-rata terlalu dimanjakan dan mempunyai sikap buruk.

Beckham dan isterinya Victoria mempunyai dua orang anak lelaki lagi iaitu Romeo, 11, Cruz, sembilan dan anak perempuan, Harper, dua tahun.





sumber: mstar online
0 Komentar untuk "Anak David Beckham Buat Kerja Sambilan"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info