gambar hiasan
MOSCOW - Pelari pecut Jamaica, Usain Bolt mempertahankan gelaran juara dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia 2013 kelmarin.
Kejayaan itu hampir menyamai rekod pelari legenda Amerika Syarikat (AS), Carl Lewis yang memenangi lapan pingat emas pada kejohanan dunia.
Ketika ini, pelari pecut berusia 26 tahun dan pemegang rekod acara 100m dan 200m itu sudah memenangi enam pingat pingat emas.
Dia akan menyamai rekod legenda itu sekiranya mampu mempertahankan gelaran dalam acara 200m dan membantu Jamaica memenangi acara 4x100m hujung minggu ini.
Bolt mendapat suntikan semangat daripada penyokongnya selepas mencatat masa terendah 9.77 saat untuk kali ketiga berturut-turut.
Sementara itu, Rusia pula mendapat hadiah emas pertama apabila atlet jalan kali, Aleksandr Ivanov mempamerkan aksi yang cemerlang dalam acara acara 20km lelaki.
Ketika Bolt meraih emas keenam itu, dua lagi atlet wanita, Brittney Reese dari AS dan Tirunesh Dibaba dari Habsyah masing-masing mengungguli acara lompat jauh dan larian jarak jauh 10,000 meter.
AS turut meraih emas kedua dalam acara decathlon menerusi Ashton Eaton, sekali gus menambah koleksi emas selepas kejayaan pada Sukan Olimpik di London tahun lalu dan perak pada kejohanan dunia 2011.
Walaupun Bolt menepati ramalan untuk mengatasi juara dunia 2005, Justin Gatlin, seorang lagi atlet Jamaica, Nesta Carter turut menjulang nama negara itu apabila meraih tempat ketiga dalam acara yang dinanti-nantikan tersebut.
Biarpun Bolt sukar diatasi oleh pencabar-pencabar yang lain, dia masih belum berpuas hati dengan prestasinya ketika beraksi dalam keadaan hujan.
"Saya gembira tetapi saya mahukan pencapaian yang lebih baik. Kaki saya agak lemah selepas separuh akhir, saya pun tidak tahu mengapa. Rekod dunia tidak ada kerana saya beraksi untuk menang," kata Bolt. - AFP
0 Komentar untuk "Bolt pertahan pingat emas"