ShareThis to the world!

Haniff hilang suara demi Dusty


Penyampai radio Era FM, Haniff Hamzah mula berjinak-jinak dalam dunia alih suara atau 'dubbing' untuk filem animasi "Madagascar" dan "The Smurf" dengan hanya memegang watak kecil sahaja. 

Kini seperti bulan jatuh ke riba, Haniff, 27, diberi peluang memegang watak utama Dusty untuk filem animasi terbaru terbitan Walt Disney Pictures, "Planes", untuk versi Bahasa Melayu. 

"Planes" yang diarahkan oleh Klay Hall dan menggunakan suara selebriti Hollywood terkenal seperti Dane Cook, Stacy Keach, Teri Hatcher dan Julia Louis-Dreyfus ini mengisahkan sebuah kapal terbang yang mempunyai impian untuk bertanding dalam pertandingan kapal terbang terpantas. 

Kami berpeluang bertemu Haniff yang telah berkongsi pengalamannya sepanjang proses alih suara untuk "Planes". 

Ikuti temubual eksklusif Tupai bersama Haniff. 

Bagaimana Haniff mendapat tawaran untuk memegang watak utama dalam filem "Planes"?
Ya Allah! Saya terkejut betul apabila kali pertama saya dihubungi oleh pihak Disney Hong Kong untuk menjadi pelakon alih suara untuk filem "Planes". Sebelum ini saya pernah juga mengalih suara untuk filem "The Smurf" dan "Madagascar" sebagai watak kecil, tetapi semuanya melalui pihak Astro. Kali ini saya sendiri mendapat emel daripada pihak Disney yang bertanya jika saya berminat untuk menerima tawaran tersebut. Jawapan saya? Sudah semestinya saya berminat! 

Adakah Haniff masih perlu menjalani sesi uji bakat terlebih dahulu selepas menerima tawaran mereka?
Walaupun mereka (Disney) menawarkan watak tersebut, mereka tetap mahu saya jalani uji bakat terlebih dahulu. Jadi mereka telah datang ke sini dan melakukan uji bakat video, kemudiannya pulang ke Hong Kong untuk mendapatkan persetujuan dari pihak Disney di sana. Selepas dua tiga hari kemudian, pihak Disney menghubungi saya dan berkata saya berjaya mendapat watak tersebut. 


Boleh ceritakan sedikit mengenai watak yang Haniff pegang dalam "Planes"?
Saya memegang watak sebagai Dusty iaitu sebuah kapal terbang ladang mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang bintang. Oleh itu Dusty berhasrat mahu menyertai pertandingan kapal terbang terpantas tetapi malangnya dia bukannya sebuah kapal terbang yang dibina untuk kelajuan. Walaupun ditentang oleh sesetengah pihak, namun dia mendapat sokongan daripada rakan-rakannya untuk menyertai pertandingan tersebut. Ia mengisahkan tentang sepanjang perjalanannya bagi menamatkan pertandingan tersebut. 

Apa cabaran atau kesukaran yang dihadapi Haniff ketika melakukan proses alih suara atau 'dubbing' ini?
Walaupun ia nampak senang tapi pada hakikatnya ia agak sukar kerana saya perlu menjaga suara saya agar tidak pecah. Saya yang merupakan seorang penyampai radio juga boleh pecah suara kerana saya bercakap selama empat jam di konti radio, kemudian masuk studio 'dubbing' untuk tujuh jam pula. Itu yang menyebabkan saya hilang suara keesokkan harinya. 

Kami ucapkan selamat berjaya dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual!
Sama-sama dan jumpa lagi! 


Saksikan "Planes" dalam versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu di pawagam bermula 15 Ogos 2013! 

sumber:Tupai.com
0 Komentar untuk "Haniff hilang suara demi Dusty"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info