ShareThis to the world!

Kejohanan Badminton Dunia: Lee Chong Wei Berpura Pura Kejang Otot?

lee chong wei Masalah kekejangan yang dialami Datuk Lee Chong Wei bukan sandiwara seperti yang didakwa segelintir pihak yang memperlekehkan kekalahan pemain No. 1 dunia itu kepada juara dunia, Lin Dan dari China pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Dunia di Gangzhou, China, kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz, semalam terpanggil untuk menepis pandangan singkat segelintir penyokong tempatan dan berkata, Chong Wei mengalami masalah kekejangan otot quadriceps(di kawasan paha) yang memerlukan rawatan segera di hospital.
“Sekiranya tidak segera berbuat demikian, kita bimbang kekejangan yang berlaku akan naik ke perut dan kemudian beralih ke bahagian dada yang mana keadaan akan menjadi lebih bahaya jika ia berlaku.
“Mujur situasi Chong Wei berjaya dikendalikan dengan baik oleh beberapa pegawai ISN yang mengiringi pemain kita ke Guangzhou.
“Keadaan yang menimpa Chong Wei bukan sandiwara dan pegawai-pegawai ISN yang memiliki kepakaran dalam sains sukan sendiri menyaksikan kesakitan yang dialami pemain itu bukan sengaja dibuat-buat,” tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, Chong Wei tunduk kepada seteru lamanya, Lin Dan dalam permainan yang diheret sehingga ke rubber set 21-16, 13-21, 17-20 pada perlawanan akhir tersebut.
Menurut Dr. Ramlan, berdasarkan laporan yang diterimanya daripada Pakar Pemakanan ISN, Chai Wen Jin dan Ketua Pasukan Sokongan Sains Sukan untuk badminton, Jerry Gan, pemain berasal dari Pulau Pinang itu mula menunjukkan tanda kekejangan otot ketika mata berada di kedudukan 15-18.
Mengulas punca keadaan tersebut berlaku, beliau menjelaskan, tindakan penganjur menutup pendingin hawa stadium menyebabkan keadaan di gelanggang sangat panas dan situasi menjadi lebih buruk buat Chong Wei kerana dia tidak mendapat rehat secukupnya kerana terpaksa beraksi sehingga lewat malam dalam aksi separuh akhir.
“Memang ramai yang kata Lin Dan tidak terjejas, mengapa pula Chong Wei terjejas. Di sini ingin saya jelaskan dari sudut perubatan yang mana tindak balas tubuh manusia tidak sama antara satu sama lain. Begitu juga dengan Chong Wei.
“Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Chong Wei masih lagi keletihan kerana dipaksa bermain sehingga pukul 11 malam, manakala Lin Dan sudah boleh berehat seawal pukul 2 petang yang mana pemulihan bintang China itu sempat dilakukan manakala keadaan sebaliknya berlaku kepada pemain kita,” ujarnya.
Beliau memberitahu, masalah penghidratan dan kekejangan yang berlaku telah menjadikan keadaan fizikal Chong Wei amat membimbangkan sehingga memaksanya menamatkan permainan ekoran menanggung kesakitan.
Tambahnya, Chong Wei yang terpaksa diusung keluar daripada gelanggang kemudian dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans dan pemain tersebut telah dimasukkan air ke dalam tubuhnya melalui intravena drip atau IV drip.
“Selepas diberi IV drip, keadaan Chong Wei kembali stabil dan syukur dia juga tidak mengalami sebarang kecederaan melainkan penghidratan dan kekejangan,” katanya.
sumber:mummynemo.my
0 Komentar untuk "Kejohanan Badminton Dunia: Lee Chong Wei Berpura Pura Kejang Otot?"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info