BUKIT KAYU HITAM – Seorang anggota tentera yang sedang membuat rondaan kawalan keselamatan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand di sini, cedera selepas terkena tembakan dalam kejadian awal hari ini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya, kejadian berlaku pukul 4.30 pagi ketika anggota tentera yang berusia 26 tahun itu selesai membaiki pagar yang dikopak di kawasan berkenaan.
Sementara itu, berdasarkan laporan yang diterima polis, mangsa sedang melakukan rondaan bersama seorang lagi anggota tentera dengan menaiki motosikal tentera apabila mereka ternampak bahagian pagar keselamatan yang dikopak.
Mangsa kemudian turun daripada motosikal dan membaiki pagar itu sebelum ternampak cahaya lampu suluh dari arah negara jiran.
Mangsa yang selesai membaiki pagar itu kemudian berjalan menuju ke motosikal sebelum kedengaran bunyi letupan tembakan yang mengenai mangsa.
Mangsa digegaskan ke Hospital Kangar dan didapati terkena enam das tembakan iaitu dua pada paha kanan, satu pada paha kiri dan tiga pada bahagian belakang.
Rakan setugas mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan.- BERNAMA
0 Komentar untuk "Terkini! Tentera cedera ditembak di sempadan Thailand"