ShareThis to the world!

Shah Iskandar cerewet memilih pasangan hidup




MEMILIKI wajah tampan serta cukup popular dan dikenali ramai, pastinya bukan sesuatu yang sukar buat pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar untuk mencari pasangan hidup.
Apatah lagi dengan usianya yang sudah mencecah 31 tahun, sudah tentu ia merupakan tempoh yang paling sesuai buat dirinya untuk mendirikan rumah tangga, meskipun sedang menempa populariti.
“Sebenarnya, saya memang seorang yang sangat cerewet dalam memilih gadis untuk dijadikan kekasih dan isteri. Agak sukar untuk mencari wanita yang memahami kerjaya saya sebagai seorang pelakon.
“Selain itu, selalu timbul perasaan ragu-ragu dalam diri saya apabila berkawan dengan seseorang, sama ada mereka mahu rapat dan bersedia menerima diri saya seadanya atau disebabkan kerjaya yang diceburi ini,” ujarnya yang ditemui sehari sebelum berlepas ke Afrika Selatan kerana menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua.
Mengakui masih lagi berstatus solo dan tidak mempunyai teman wanita buat masa sekarang, Shah menyatakan, kesibukannya sebagai pelakon menjadi faktor utama dia belum bersedia untuk mencari teman hidup.
Ditanya mengenai ciri-ciri gadis pilihannya, Shah berharap agar dapat bertemu dengan seseorang yang tidak terlalu kuat cemburu, memandangkan sebagai pelakon dia perlu berhadapan dan melayan peminat.
“Menjalani kehidupan sebagai seorang pelakon sudah tentu kehidupan sosial saya tidak seperti orang biasa. Saya perlu banyak bergaul dengan rakan-rakan artis dan melayan peminat.
“Lagipun kerjaya saya juga tidak tentu masa dan risau sekiranya tidak dapat memberikan sepenuh perhatian. Jadi, saya perlu selektif mencari teman hidup yang memahami keadaan diri saya sepenuhnya,” ujarnya yang pernah digosipkan dengan pelakon Rozita Che Wan.
Bagaimanapun, pelakon berkenaan tidak menafikan bahawa ahli keluarganya memang selalu bertanya tentang perkahwinan, tetapi dia sekadar memberi alasan masih belum lagi bersedia buat masa ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai gosip terbaharunya apabila dikatakan bercinta dengan pelakon Cha cha Maembong baru-baru ini, Shah lantas tertawa dan menjelaskan mereka berdua tiada sebarang hubungan istimewa.
SHAH ISKANDAR tidak berselindung tentang gosip hubungan cintanya dengan Cha Cha Maembong.


“Hubungan kami sekadar rakan sesama artis sahaja memandangkan kami pernah berlakon bersama-sama dalam telemovie Pengantin Lari. Biasanya selepas selesai penggambaran, kami akan lepak di kedai makan dengan rakan artis yang lain.
“Tidak mustahil telah timbul salah faham apabila ada yang melihat kemesraan yang terjalin antara saya dan Cha cha ketika lepak minum bersama, sedangkan tiada wujudnya perasaan cinta antara kami berdua,” jelasnya.
Shah menjelaskan, dengan usia Cha cha yang baru sahaja mencecah 17 tahun, dia beranggapan bahawa pelakon berkenaan masih terlalu muda dan jarak usia mereka juga terlalu jauh.
Cabar diri
Bercerita mengenai karier lakonannya pula, Shah Iskandar memberitahu dia kini berada di Afrika Selatan dari 9 hingga 25 Oktober ini untuk menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua.
Ujarnya, program berkenaan agak berbeza dengan musim yang pertama kerana selebriti yang bertanding kali ini akan bergabung dengan orang biasa.
“Saya tahu setiap peserta perlu menjalani pelbagai cabaran yang agak sukar, tetapi saya ingin menyertai program ini kerana mahu mencabar kekuatan diri sendiri.
“Namun begitu, saya tidak dapat membuat persediaan yang mencukupi kerana jadual lakonan yang sangat padat. Seboleh-bolehnya dapatlah saya bertahan sehingga ke peringkat akhir,” ujarnya yang bakal bersaing dengan beberapa selebriti lain seperti Zain Saidin, Izzue Islam, Shuib Sepahtu dan Yana Samsudin.
Selain itu, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Gerak Khas itu menyatakan, dia bakal tampil dengan sebuah drama bersiri berjudul Seindah Sabarmu.
Ujarnya, drama berkenaan akan mula disiarkan pada 15 Oktober ini di TV9 sebanyak 14 episod serta dibintangi beberapa pelakon lain seperti Nad Zainal dan Ika Nabella.
“Dalam drama berkenaan saya memegang watak sebagai Ustaz Firman, anak kepada seorang pemilik rumah anak-anak yatim yang jatuh cinta dengan Fiqa lakonan Nad Zainal,” jelasnya.


sumber:Kosmo online
0 Komentar untuk " Shah Iskandar cerewet memilih pasangan hidup"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info