ShareThis to the world!

Barulah Nampak Serius Nak Perangi Ah Long


BERITA 1
Hampir 2,000 Iklan Along Ditanggalkan
SHAH ALAM — Hampir 2,000 iklan pinjaman wang haram atau
‘Along’ ditanggalkan di sini sepanjang tahun ini menerusi Op Cantas Along
yang berakhir hari ini.
Operasi terakhir Op Cantas Along, yang dijalankan melalui kerjasama polis
Shah Alam dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu bagi menanggalkan
iklan-iklan sindiket dijalankan di sekitar Seksyen 25 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata hasil pemeriksaan
mendapati kebanyakan sindiket tersebut beroperasi di luar daerah itu dan hanya
iklan saja dinaikkan di kawasan Shah Alam.
“Masyarakat dinasihatkan jangan pinjam dengan lintah darat ini kerana ia
hanya membawa keburukan pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas
menghadiri operasi terakhir itu.
Beliau berkata setiap nombor telefon pada iklan itu juga dihantar kepada
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk disekat taliannya
agar tiada pihak dapat menghubungi mereka.
Pegawai Penguatkuasa MBSA, Hairul Hanif Abdul Taib berkata sepanjang operasi
tersebut tahun ini, seramai 15 lelaki yang berumur antara 17 tahun dan 23 tahun
ditahan pihaknya ketika sedang menaikkan iklan-iklan tersebut.
Mereka, katanya, dikenakan tindakan kompaun kerana melakukan vandalisme.
Sasaran sindiket itu untuk menaikkan iklan mereka ialah tiang-tiang
elektrik di tempat tumpuan awam, papan tanda jalan raya, kotak-kotak fius Tenaga
Nasional, katanya.
Di KUALA LUMPUR, kira-kira 150 poster Along diturunkan di lima kawasan
sekitar Ampang iaitu Bandar Baru Ampang, Kampung Melayu Ampang, Jalan Ampang,
Jalan Kosas dan Jalan Pandan Indah hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata poster dan
iklan pemberi pinjaman wang haram semakin berleluasa terutama di sekitar Ampang
walaupun operasi menurunkannya sebelum ini dilakukan pihak Majlis Perbandaran
Ampang Jaya (MPAJ).
Operasi akan diteruskan sehingga poster-poster itu habis ditanggalkan di
sekitar Ampang, katanya ketika operasi itu hari ini.
 – BERNAMA
BERITA 2
Polis Buru Sindiket Ceti Haram Melalui Iklan
IPOH — Polis Perak kini memantau dan memburu sindiket
ceti haram atau Along melalui nombor telefon pada pelbagai bahan iklan untuk
memerangi kegiatan itu secara serius.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata
kesemua nombor telefon pada bahan promosi seperti poster, kain rentang dan kad
perniagaan kegiatan haram itu akan diselidik untuk mengenal pasti dalang
aktiviti tanpa lesen terbabit.
“Seterusnya membuat tangkapan, jika keterangan kuat dan mencukupi kita
mengambil tindakan lanjut sehingga mendakwa mereka di mahkamah. Ops Cantas Khas
untuk memerangi kegiatan Along atau dikenali sebagai ‘Ops Voucer’ ini pertama
kali kita adakan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata dalam usaha membanteras sindiket ceti haram, pihaknya
menghadapi kekangan untuk mendakwa mereka di mahkamah memandangkan kurang
kerjasama daripada orang ramai yang menjadi mangsa terutama apabila siasatan
dijalankan.
“Apabila mangsa diganggu atau diugut Along, mereka akan datang kepada polis
dan buat laporan, bila kita siasat separuh jalan, mereka seolah-olah enggan beri
kerjasama, sebab itu jika dilihat nisbah pertuduhan di mahkamah, kita mempunyai
sedikit kekangan,” katanya.
Maszely berkata Ops Cantas Khas untuk membanteras kegiatan Along di samping
menurunkan bahan promosi sindiket terbabit dilancarkan September lepas dan 88
kes diambil tindakan termasuk membuat tangkapan di Perak.
Beliau berkata dalam operasi hari ini dan semalam bersama-sama pihak PBT
1,500 bahan iklan kegiatan ceti haram diturunkan di sekitar Ipoh, Batu Gajah,
Hilir Perak dan Manjung.
“Selalunya memang sukar untuk kita mengambil tindakan terhadap mereka yang
menggantung bahan iklan ini dan kebiasaan tiada saksi yang melihat mereka kerana
dilakukan pada awal pagi,” katanya.
Beliau berkata usaha diperhebat melalui operasi seumpama itu untuk
melumpuhkan strategi pemasaran sindiket haram terbabit kerana tanpa iklan,
kegiatan terancang pihak tidak bertanggungjawab itu, sukar mendapat pelanggan.
Selain itu, beliau berkata anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh turut
mendedahkan sindiket berkenaan menggunakan air kencing dibungkus dalam uncang
plastik yang dilihat seolah-olah seperti minuman teh serta digantung
bersama-sama bahan iklan mereka.
Ia adalah satu tindakan untuk menyukarkan tugas dan operasi penguat kuasa
menurunkan bahan iklan yang digantung, katanya.– BERNAMA
0 Komentar untuk "Barulah Nampak Serius Nak Perangi Ah Long"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info