ShareThis to the world!

Penyamun kaya RM270,000

Kajang: Dua mesin juruwang automatik (ATM) dalam sebuah pasar raya di Taman Utama, Batu 9, Cheras, di sini dipecahkan sekumpulan perompak membabitkan kerugian RM270,000, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, suspek dipercayai tiga lelaki yang masuk melalui pintu belakang kedai perabot di dalam pasar raya berkenaan.

Siasatan awal polis mendapati kumpulan penjenayah itu memusingkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai berkenaan sebelum memecahkan ATM menggunakan gas Oxy.
Menurut sumber, penjenayah terbabit dipercayai pakar kerana mengambil masa sejam untuk memecahkan dua mesin ATM yang masing-masing terletak pada jarak 15 meter.

Difahamkan, sebuah mesin ATM berkenaan baru dimasukkan wang tunai berjumlah RM210,000 kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Sumber itu berkata, kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang mahu memulakan tugas sekitar jam 7.10 pagi apabila mendapati terdapat kesan pecah pada pintu utama premis.
“Pasar raya itu ditutup pada jam 10 malam setiap hari dan pengawal keselamatan hanya bertugas dari jam 7 pagi hingga jam 10.30 malam saja,” katanya.

Sumber berkata, polis tidak menolak kemungkinan pembabitan `orang dalam’ kerana suspek mengetahui selok-belok di dalam bangunan dan cara mengendalikan mesin ATM.
Katanya, siasatan juga mendapati penggera keselamatan dimatikan terlebih dulu, manakala rakaman CCTV juga kabur kerana keadaan di dalam premis yang gelap.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan pintu besi terletak di belakang premis untuk meloloskan diri bersama wang tunai hasil samun berdasarkan kesan lubang dan umpil yang terdapat pada pintu.

“Kita juga percaya suspek masuk ke dalam premis sebelum tamat waktu operasi untuk bersembunyi dan menunggu waktu sesuai untuk memulakan aktiviti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata polis sudah menahan dua pengawal keselamatan yang bertugas ketika proses memasukkan wang ke dalam salah satu mesin ATM dilakukan kelmarin. “Kedua-dua lelaki terbabit direman bermula esok (hari ini) bagi membantu siasatan polis,” katanya.

sumber:hmetro.com
0 Komentar untuk "Penyamun kaya RM270,000"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info