ShareThis to the world!

Buang tabiat ‘jatuh badan’

Pengurus Everton Roberto Martinez percaya semua pihak di dalam bola sepak bertanggungjawab untuk membantu menyelesaikan masalah pemain yang sengaja menjatuhkan badan bagi mendapatkan sepakan percuma.
Selepas presiden FIFA, Sepp Blatter menyarankan supaya sistem penalti masa diperkenalkan sebagai kaedah yang boleh menghalang tindakan berkenaan, Martinez berkata perkara itu tidak akan banyak mengubah keadaan.

“Ia adalah salah kita sendiri,” kata pengurus kelahiran Sepanyol itu. “Ia sudah merosakkan permainan dan berlarutan sejak beberapa musim lalu. Terpulang kepada kita untuk membetulkan semula keadaan.” Berdasarkan rekod, sejak Ogos 2008, bekas pemain Tottenham Gareth Bale pernah dilayangkan tujuh kad kuning kerana sengaja menjatuhkan badan manakala Fernando Torres dan Adnan Januzaj masing-masing diberikan tiga kad kuning oleh pengadil perlawanan atas masalah sama.
Liam Lawrence, David Bentley, Ashley Young, Luis Suarez, Daniel Sturridge, Javier Hernandez, Oscar, Andy Carroll dan Emmanuel Eboue pula masing-masing pernah dilayangkan dua kad kuning.

Dalam satu kolum yang dihasilkan untuk FIFA, Blatter berkata penipuan di dalam bola sepak adalah sesuatu yang sangat memalukan dan beliau turut meluahkan kecewa apabila segelintir pemain sengaja menjatuhkan badan dan berlakon seperti cedera kerana mahu melengah-lengahkan permainan.

Pengurus Chelsea Jose Mourinho pernah mengkritik pemainnya, Oscar kerana sengaja menjatuhkan badan ketika pasukannya menang ke atas Southampton, Rabu lalu dan pengurus kelahiran Portugal itu menambah Blatter sepatutnya menjelajah ke seluruh dunia untuk memberi pengajaran kepada negara yang mengamalkan kaedah itu untuk melambatkan masa terutama ketika sedang mendahului lawan.
“Banyak cara yang boleh kita gunakan untuk mengatasi masalah itu,” katanya. “Layangkan kad kuning, kritikan pedas di media serta penalti masa. Anda perlu menyedarkan pemain bahawa isu ini adalah penting.

“Jika beliau bimbang, beliau harus pergi ke negara yang mengamalkan cara berkenaan kerana ia seolah-olah sudah menjadi satu budaya.” Majalah kelab Manchester United, Red Issue pula menyarankan pengurus David Moyes untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemain yang sengaja menjatuhkan badan dan menyebut Adnan Januzaj, Ashley Young, Danny Welbeck dan Wayne Rooney sebagai contoh.
“Kami tidak kisah andai MUFC tewas kerana itulah bola sepak. Tewas dengan maruah sama sekali berbeza dengan tewas menerusi penipuan,” katanya.

Sejak Ogos 2008, Tottenham adalah kelab yang paling kerap dikesan cuba menipu dengan kaedah itu dengan 13 kesalahan manakala Chelsea dan Manchester United masing-masing 12 kesalahan serta Arsenal dan Liverpool 8 kali.


sumber:hmetro.com
0 Komentar untuk "Buang tabiat ‘jatuh badan’"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info