ShareThis to the world!

Isu PKNS Makin Panas…Azmin Ali Anggap Khalid Beri ‘Kenyataan Kangkong’?



Hari ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan dalam satu sidang media tadi bahawa pengguguran Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dari kerusi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah tidak sah.

Anwar berkata beliau akan berbincang mengenai kedudukan Azmin bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak lama lagi.

Pada awalnya, Abdul Khalid dalam satu sidang media semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri berkata keputusan menggugurkan Azmin bukan dibuat olehnya sebaliknya oleh PKNS sendiri melalui Pengurus Besarnya Othman Omar.

“Keputusan ini (menamatkan kontrak) bukan keputusan saya mahupun Exco Kerajaan Negeri Selangor. Sebaliknya, ia diputuskan Pengurus Besar PKNS sendiri dan ia bukan parti politik.

“Surat yang bertarikh 4 Disember 2013 telah diserahkan kepada Mohamed Azmin dan dia telah menerimanya, jadi Exco menghormati keputusan itu,” kata Abdul Khalid dalam sidang media itu.

Azmin melalui Twitternya malam tadi berkata kenyataan yang dibuat Abdul Khalid itu sebagai satu ‘kenyataan kangkong’.

Tweet itu sebagai membalas tweet daripada seorang pengguna Twitter atas nama akaun Arfa Aziz, @afraziz yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor,  berkenaan isu itu.


Seorang pengguna Twitter membalas tweet Azmin dan bertanya adakah boleh seorang Pengurus Besar memecat seorang Ahli Lembaga Pengarah?

Azmin menjawab “Hanya Mr U Turn boleh kata begitu”.



Begitu hebat sindir-menyindir dalam kalangan pemimpin politik di Selangor ini.

Isu kemelut pengguguran Azmin sehingga kini masih kurang jelas ia angkara sesiapa kerana agak pelik apabila Pengurus Besar boleh melucutkan jawatan seorang Ahli Lembaga Pengarah.

Kita tunggu sahaja ke mana arahnya kemelut ini akan berakhir, semakin hari semakin pincang perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Selangor mahupun perjalanan pimpinan dalam pakatan pembangkang. – KUMBANG WIRA
0 Komentar untuk "Isu PKNS Makin Panas…Azmin Ali Anggap Khalid Beri ‘Kenyataan Kangkong’?"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info