ShareThis to the world!

Surat Tahunan Gates 2014 – 3 Mitos Yang Menghalang Pembangunan Masyarakat Miskin



Pengerusi Microsoft, Bil Gates hari ini menerbitkan surat tahunannya melalui Yayasan Gates yang memfokuskan kepada persoalan sama ada masyarakat atau negara yang miskin akan kekal miskin atau sebaliknya.

Secara umum, pasangan itu berpegang kepada pandangan bahawa kemiskinan boleh diatasi namun wujud 3 mitos utama yang menyebabkan usaha ke aras pembasmian kemiskinan menjadi perlahan atau sukar dilakukan.

“Ikut apa jua sukatan sekalipun, dunia hari ini adalah lebih baik daripada dahulu,” kata Bill Gates dalam surat yang mula disiarkan kepada umum sebentar tadi.

Tiga mitos yang dimaksudkan beliau ialah yang pertama, negara miskin ditakdirkan untuk kekal miskin.

Bagi mematahkan mitos ini, beliau menceritakan pengalamannya bersama isteri, Melinda ketika melawat beberapa negara seperti Mexico beberapa dekad lalu dan perbandingannya dengan hari ini.

Secara umum kata beliau, banyak negara yang dahulunya miskin kini memperlihatkan peningkatan kebajikan dan pendapatan penduduknya yang agak ketara.

Mitos kedua pula kata beliau adalah tanggapan segelintir pihak bahawa bantuan asing adalah satu bentuk pembaziran.

Sekali lagi beliau mengaitkan pengalaman bersama isterinya melihat bagaimana bantuan asing membantu manusia hidup lebih lama, lebih sihat dan keluar dari lingkaran ganas kemiskinan di beberapa buah negara.

Beliau berkata, kisah bantuan asing disalah-gunakan adalah kecil tetapi selalu diperbesarkan sehingga membentuk persepsi di kalangan masyarakat negara maju ia adalah satu bentuk pembaziran dan harus dikurangkan atau dihentikan.

Bill Gates bimbang jika idea bahawa bantuan asing adalah sesuatu yang buruk berkembang, ia akan dijadikan alasan oleh pemimpin sesuatu negara bagi menghentikan atau mengurangkan bantuan kategori itu.

Mitos ketiga pula kata beliau ialah tanggapan bahawa usaha menyelamatkan lebih banyak nyawa akan hanya menjadikan dunia ini mengalami masalah letusan populasi.

Beliau berkata, adalah normal jika ramai yang berfikir sama ada bumi akan mampu menampung umat manusia yang banyak jumlahnya terutama di zaman di mana perubahan iklim global sedang melanda.

“Tetapi pemikiran seperti ini telah membawa banyak masalah kepada dunia, kebimbangan mengenai saiz populasi mempunyai kecenderungan yang merbahaya yang mana ia akan mengatasi kebimbangan kita terhadap aspek kemanusian,” katanya.

Mengulas lanjut secara umum kandungan suratnya tahun in, Bill Gates berkata, jangka hayat dan tahap kesihatan manusia kini adalah lebih baik.

“Banyak negara yang dahulunya merupakan penerima bantuan kini mampu berdikari (self-sufficient),” katanya.

Namun, menjelaskan lebih lanjut, Bill Gates dan isterinya, Melinda agak binggung kerana terlalu ramai orang yang beranggapan dunia sebenarnya semakin tenat.

Kata beliau, pandangan bahawa dunia tidak mampu menyelesaikan kemiskinan yang ekstrem dan penyakit bukan sahaja satu bentuk kesilapan tetapi ia juga merbahaya.

“Sebab itu dalam surat tahun ini, kami mengetengahkan sebahagian daripada mitos yang memperlahankan kerja (untuk membasmi kemiskinan). Selepas ini jika anda mendengar mitos-mitos ini, kami harap akan buat yang sama (mengatasinya),” katanya.

(Surat Tahunan Bill Gates Boleh Di Baca Di Sini – KLIK)






sumber:siakapkeli.com
0 Komentar untuk "Surat Tahunan Gates 2014 – 3 Mitos Yang Menghalang Pembangunan Masyarakat Miskin"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info