ShareThis to the world!

Ibu, teman lelaki didakwa

Dungun: Teman lelaki kepada ibu kanak-kanak perempuan dua tahun yang ditemui mati dibunuh di sebuah rumah kosong di Paka, di sini, pada Januari lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan mendera dan mengabaikan mangsa serta tidak memiliki kad pengenalan ketika ditahan.
Tertuduh yang juga suspek utama, Sofian Hadie Mohd Nor, 35, dari Kampung Baru Tebing Tembah, Paka, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 dan Peraturan 25(1)(n), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara1990 yang dibacakan di hadapan Majistret Hazwanie Husain Bustari. 
Mengikut pertuduhan, Sofian Hadie dipercayai menyebabkan kematian Nur Syafiqah Adawiyah Abdullah, 2, apabila didakwa mendera dan mengabaikan kanak-kanak itu yang berada dalam jagaannya. 

Dia yang turut terbabit dengan penagihan dadah didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Perumahan Seberang Paka Fasa 2, Paka, di sini, kira-kira jam 3.20 petang pada 22 Januari lalu.
Foto
ANGGOTA polis mengiringi Rabiatul Adawiyyah ke Mahkamah Majistret Dungun,

Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Sofian Hadie yang tidak bekerja itu turut didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan polis di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Paka, di sini, jam 1.30 tengah hari pada 21 Januari lalu. 

Bagaimanapun, Sofian Hadie yang memakai baju lokap berwarna ungu dengan tenang mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan. 

Sementara itu, di mahkamah sama, ibu Nur Syafiqah Adawiyah, Rabiatul Adawiyyah Mamat, 28, turut didakwa mengikut Seksyen 192, Kanun Keseksaan (KK) kerana membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan anaknya itu. 

Dia yang berpakaian baju-T merah dan bertudung hitam didakwa melakukan kesalahan itu di BalaiPolis Paka jam 12.01 tengah hari 18 Januari lalu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Seksyen 363 KK kerana menculik. 

Bagaimanapun, Rabiatul Adawiyyah turut mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. 

Terdahulu, Wan Mohd Izzat dalam hujahnya memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Sofian Hadie atas alasan kes pembunuhan kanak-kanak itu membabitkan kepentingan awam dan mendapat perhatian meluas media

Katanya, jika Sofian Hadie dibenar diikat jamin, pihaknya bimbang tertuduh memberi ancaman keselamatan terhadap keluarga mangsa. 

Mahkamah membenarkan Rabiatul Adawiyyah diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin manakala Sofian Hadie tidak dibenarkan diikat jamin.




sumber: hmetro.com
0 Komentar untuk "Ibu, teman lelaki didakwa"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info