ShareThis to the world!

Jawatan MB: 4 kali sudah ditanya soalan sama



SHAH ALAM - Desas-desus bahawa dirinya akan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, disangkal sekali lagi oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim setelah acapkali soalan itu diajukan kepada dirinya.

Menurut Abdul Khalid, soalan itu yang menjadi mainan media mutakhir ini, adalah suatu perkara yang tidak benar.

"Tak ada (nak letak jawatan).

"Ini kali keempat saya ditanya, setiap minggu saya ditanya mengenai peletakan jawatan, tapi tak ada," katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini.

Sebelum ini pelbagai spekulasi timbul kononnya Abdul Khalid akan melepaskan jawatan yang disandangnya ekoran pelbagai kontroversi termasuk isu kepimpinan.

Khabar itu semakin bertiup kencang apabila Adun Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR,  Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu yang dikaitkan dengan usaha memulihkan masalah dalaman PKR Selangor.

Abdul Khalid ketika kali pertama mengulas isu ini minggu lalu berkata, apa yang penting kepada beliau ialah untuk menyelesaikan kemelut ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang membabitkan penyingkiran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, daripada ahli lembaga pengarah agensi itu.

Terdahulu, akhbar melaporkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan wujud desakan ‘ekstrem’ daripada sebilangan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu supaya Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai menteri besar dan digantikan dengan Azmin.

Pandangan itu dikemukakan dalam kalangan 55 ahli MPP PKR dalam satu mesyuarat pada 15 Januari lalu tetapi tidak menjadi usul mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya hubungannya dengan pimpinan PR yang lain berkaitan isu PRK Dun Kajang, Abdul Khalid berkata, semuanya baik walaupun wujud perbezaan pendapat.

"Hubungan di antara parti komponen kita baik.

"Ada kenyataan mereka tidak sama, antaranya mereka tidak setuju tentang PRK, namun mereka masih menyimpan keputusan menteri besar," katanya.






sumber: siakapkeli.com
0 Komentar untuk "Jawatan MB: 4 kali sudah ditanya soalan sama"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info