ShareThis to the world!

Kisah Sedih Kedi Kanak-Kanak 12 Tahun MATI Terkena Bola Golf Di Sabah…



KENINGAU – Seorang kanak-kanak perempuan warga Filipina yang bekerja sebagai kedi di sebuah padang golf di sini maut apabila terkena bola golf yang terpesong ke arahnya sewaktu menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Robert Salisip @David berkata, mangsa yang berumur 12 tahun dikenali sebagai Alminda Jalimin itu tidak memiliki dokumen dan beralamat di rumah kongsi berhampiran Taman MDK di sini.

Mengesahkan kejadian itu, beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira sehari selepas kejadian itu.

“Kejadian itu berlaku pada 31 Januari kira-kira jam 2.40 petang di padang golf itu sewaktu mangsa sedang bertugas menarik beg salah seorang pemain golf pada lubang ke-12.

“Dalam kejadian itu, salah seorang daripada pemain golf yang bermain pada hari itu memukul bola dalam jarak lima hingga enam meter dari kawasan di mana mangsa berdiri.

“Tanpa disangka-sangka, bola yang dipukul tadi melencong lalu terkena pada mangsa di tengkuk kanan, mengakibatkan mangsa rebah serta merta dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Robert berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke unit Kecemasan Hospital Keningau oleh orang awam dan doktor memberikannya rawatan sebagai pesakit luar, di mana kira-kira jam 11.30 malam, mangsa dibawa balik ke rumah oleh bapa dan ibunya.

Menurutnya, pada masa itu mangsa dilaporkan sebagai tidak mampu berjalan sendiri, dan bapanya terpaksa mendukungnya untuk dibawa balik ke rumah kongsi di mana mereka tinggal.

“Pada awalnya, mangsa dikatakan boleh bercakap dan menceritakan pengalamannya itu, namun selepas itu dia mengadu sakit kepala dan muntah-muntah. Keadaannya bertambah serius dan mangsa meninggal pada 1 Februari pada jam 5 pagi,” katanya.

Robert berkata, mangsa yang tidak pernah menghidap sebarang penyakit lain, bekerja sebagai seorang kedi di Kelab Golf Keningau sejak umurnya 10 tahun lagi bagi membantu mendapatkan sumber rezeki bagi diri dan keluarganya. - www.theborneopost.com
0 Komentar untuk "Kisah Sedih Kedi Kanak-Kanak 12 Tahun MATI Terkena Bola Golf Di Sabah…"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info