ShareThis to the world!

Mungkin angkara orang dalam

Kajang: Polis tidak menolak kemungkinan kejadian samun sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin, membabitkan orang dalam kerana sistem keselamatan berteknologi tinggi kedai berkenaan, berjaya dimatikan penjenayah.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, siasatan mendapati sekurang-kurangnya empat lelaki Amerika Latin dipercayai terbabit dalam rompakan itu.
“Polis turut bekerjasama dengan pengurusan pusat beli-belah itu bagi meneliti semua kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam premis berkenaan.
“Kedai emas itu mempunyai sistem keselamatan berteknologi tinggi termasuk pengesan pergerakan namun semuanya berjaya dimatikan penjenayah terbabit.
Sekiranya dilakukan orang tidak mempunyai pengetahuan, penggera sistem itu akan berbunyi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan perompak mengambil kesempatan sempena cuti Tahun Baru Cina untuk menceroboh masuk sebuah kedai emas di pusat beli-belah itu sebelum melarikan barang kemas bernilai jutaan ringgit.
Kejadian disedari pengurus premis jam 10 pagi kelmarin, ketika mahu membuka kedai dan terkejut melihat peti keselamatan dirosakkan sebelum mendapati barang kemas lesap.

Hasil siasatan mendapati suspek memasuki premis melalui pintu belakang kedai yang dipecahkan sebelum merosakkan peti keselamatan menggunakan gas oxy.

Abdul Rahim berkata, kes samun berkenaan kemungkinan berlaku dalam tempoh 18 jam sebelum disedari pengurus premis berkenaan.
“Kami sudah memperoleh kesan cap jari yang ditinggalkan suspek.

Kes ini juga turut dikaitkan dengan kejadian ‘black out’ yang berlaku di pusat beli-belah itu,” katanya.


sumber: hmetro.com
0 Komentar untuk "Mungkin angkara orang dalam"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info