ShareThis to the world!

Pemuda PAS Tolak Jika Anwar Mahu Jadi MB



HARI ini dengan lantang, Pemuda PAS menolak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurut Ketuanya, Suhaizan Kaiat, Pakatan Rakyat seharusnya segera menghentikan polemik berkaitan kedudukan menteri besar yang baru kerana bimbang ia akan dipanjangkan  sehingga melibatkan pihak Istana.

“Pemuda PAS juga ingin menegaskan bahawa menyokong Anwar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak bermakna Pemuda PAS bersetuju beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

“Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret PR membincangkan isu menteri besar yang baru, dan kita khuatir ia akan berlarutan terlalu panjang dan diheret ke peringkat istana,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, di Kuala Lumpur.

Menurut laporan portal The Malaysian Insider, Suhaizan bagaimanapun berkata, pihaknya kesal terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang yang dilaksanakan secara tergesa-gesa, membazir masa dan duit rakyat.

“Ia juga mendedahkan PR kepada risiko kemerosotan sokongan rakyat.

“Bagaimanapun kita menghormati muafakat PR yang memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihan raya lalu,” katanya.

Beliau turut mendesak agar “kesilapan” seperti itu tidak diulangi oleh parti komponen PR yang lain pada masa depan. – IBNU K
0 Komentar untuk "Pemuda PAS Tolak Jika Anwar Mahu Jadi MB"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info