ShareThis to the world!

Pesawat India Mendarat Cemas Di KLIA



SEBUAH pesawat syarikat penerbangan tambang murah India, dari Singapura yang membawa 145 orang penumpang terpaksa melakukan satu pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.30 pagi tadi selepas kru penerbangan menemui satu bungkusan misteri di tandas.

Selepas diperiksa pasukan bomba dan penyelamatan, bungkusan itu mengandungi tiga jongkong emas yang beratnya kurang dari 1 kilogram setiap satu, menurut laporan TheStar Online.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul mengesahkan pesawat itu membuat keputusan mendarat atas sebab-sebab keselamatan.

Kru penerbangan mengesyaki bungkusan itu mengandungi kandungan dipercayai bahan kimia ataupun bahan letupan.

Pesawat itu berlepas dari Singapura dalam penerbangan ke Chennai, India.

Sebaik mendarat, para penumpang diminta meninggalkan pesawat sebelum sepasukan anggota bomba berpakaian lengkap Hazmat untuk menguruskan bahan-bahan kimia berbahaya dihantar untuk membuat pemeriksaan.

“Ia bukan bahan kimia, ia cuma jongkong emas yang dibungkus di dalam kertas, ia satu penemuan yang aneh.

“Kita tidak tahu dari mana datangnya bungkusan itu atau siapa yang membawanya naik ke atas pesawat, pihak polis ketika ini sedang menyoalsiasat para penumpang,” kata Mohd Sani.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata polis mengesyaki bungkusan itu adalah sebutir bom pada awalnya dan ketika ini sedang menyiasat siapa pemilik jongkong emas itu. - IBNU K
0 Komentar untuk "Pesawat India Mendarat Cemas Di KLIA"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info