ShareThis to the world!

Terima deposit RM5.5b tanpa lesen

Kuala Lumpur: Seorang pengarah syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan menerima deposit RM5.5 bilion tanpa lesen, tiga tahun lalu.
Ahmad Khairuddin Illias, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.
Tertuduh individu terakhir didakwa di mahkamah selepas 15 orang pengarah dan perunding 10 syarikat berkaitan pelaburan jongkong emas dituduh sejak September tahun lalu membabitkan 1,550 pertuduhan termasuk penggubahan wang haram dan menerima deposit tanpa lesen.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Ahmad Khairuddin didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah melalui satu skim membabitkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Islamic Bank Berhad, cawangan Jalan Kuchai Lama, di sini, antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM) Fahmi Abd Moin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hairani Samsi.

Terdahulu, Fahmi membantah jaminan diberi kepada tertuduh dengan alasan pertuduhan ini serius dan membabitkan pengambilan deposit daripada 35,000 orang awam berjumlah RM5.5 bilion.
Bagaimanapun, dia berkata, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihaknya mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Fahmi juga memohon supaya kes itu dibicarakan bersama 15 tertuduh lain.
Namun, Mohd Hairani mewakili Ahmad Khairuddin memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin atas alasan kes itu membabitkan dokumen yang banyak dan menjadi kesukaran pihaknya berurusan jika tertuduh ditahan di penjara.
Dia juga memohon tertuduh diikat jamin dengan jumlah munasabah iaitu RM100,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 20 Februari ini untuk pengurusan kes dan hujahan permohonan pendakwaan supaya kes dibicara bersama.


sumber: hmtero.com
0 Komentar untuk "Terima deposit RM5.5b tanpa lesen"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info