Terbaharu, Brooklyn Beckham, 15, dilaporkan bekerja sambilan di pejabat pengarah filem terkenal, Guy Ritchie yang juga rakan baik kepada David.
Daily Mail melaporkan, Brooklyn bekerja selama lima jam setiap hari dan setiap pagi David sendiri akan menghantar anaknya itu ke pejabat dan menjemput selepas dia selesai bekerja.
Bagaimanapun tidak diketahui apakah jenis kerja yang dilakukan oleh Brooklyn namun dia dikatakan menjadi pembantu Guy menguruskan hal-hal pejabat.
David dalam satu temubual sebelum ini memberitahu dia mahu anak-anaknya bekerja secara sambilan untuk memperolehi wang saku supaya mereka tahu menghargai nilai wang untuk menyara hidup.
"Kami cuba membina keluarga ini dengan memberi teladan yang baik iaitu dengan menunjukkan kepada mereka (anak-anak) akan pentingnya bekerja keras untuk berjaya dalam hidup," katanya.
Dalam pada itu, sumber terdekat keluarga itu memuji sikap anak-anak pasangan itu yang dibesarkan dengan penuh nilai murni dan adab sopan sehingga mereka disenangi oleh semua pihak.
Kata sumber itu, sikap yang ditonjolkan mereka itu jarang dimiliki oleh anak-anak selebriti terkenal lain yang rata-rata terlalu dimanjakan dan mempunyai sikap buruk.
Beckham dan isterinya Victoria mempunyai dua orang anak lelaki lagi iaitu Romeo, 11, Cruz, sembilan dan anak perempuan, Harper, dua tahun.
0 Komentar untuk "Anak David Beckham Buat Kerja Sambilan"