Tambunan: Orang ramai tidak ada pilihan melainkan terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dan mengambil masa lebih lama berikutan jalan Tambunan-Panampang terputus sepanjang 50 meter akibat tanah runtuh di Kilometer 22, awal pagi semalam.
Seorang pengguna jalan raya yang mahu dikenali sebagai Bryan berkata, dia bersama rakan terpaksa menggunakan laluan alternatif Keningau - Kimanis selepas mengetahui jalan berkenaan terputus.
“Saya bersama rakan yang mahu ke Kota Kinabalu terpaksa melalui laluan alternatif selepas mengetahui berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran Kampung Sunsuron.
“Saya tahu melalui Facebook dan aplikasi Whatsapp yang disebarkan rakan-rakan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Frederick Herman, 32, berkata dia dan keluarganya yang dalam perjalanan dari Tambunan ke pusat bandar raya untuk bercuti hujung minggu, terpaksa berpatah balik akibat kejadian itu.
“Nampaknya saya dan keluarga terpaksa melalui jalan Tambunan - Ranau - Kota Kinabalu untuk ke bandar raya pada hujung minggu ini,” katanya.
KEADAAN tanah runtuh menyebabkan ramai terjejas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau Asisten Superintendan Merbin Anak Lisa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai tanah runtuh di pada jam 9.40 pagi dan mengerah sepasukan anggota ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.
“Polis sudah memeriksa kawasan itu dan mendapati laluan terbabit runtuh, tidak boleh dilalui semua kenderaan.
“Polis kemudian memaklumkannya kepada Jabatan Kerja Raya Tambunan, bomba serta agensi berkaitan untuk mengawal keadaan,” katanya.
Merbin berkata, semua pengguna jalan yang melalui jalan berkenaan dinasihat menggunakan jalan alternatif seperti jalan Keningau-Kimanis untuk ke destinasi mereka.
sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/Terpaksapatahbalik//Article
0 Komentar untuk "Tanah Runtuh "