ShareThis to the world!

10 jasad ditemui, empat oleh TLDM


Kuala Lumpur: Sepuluh jasad mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 sudah ditemui sehingga malam ini dengan terbaru KD Pahang menemui tiga mayat terapung di laut di Sektor 1 pencarian di perairan Selat Karimata.
Penemuan tiga lagi jasad itu disahkan Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi laman Twitternya.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan jasad ditemui kapal TLDM adalah empat orang hari ini selepas KD Lekir menemui jasad seorang mangsa pagi tadi.
Sementara itu, di Surabaya, Ketua Eksekutif AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko tetap mengharapkan keajaiban.
"Kami mengharapkan ada keajaiban dalam insiden ini di mana kemungkinan menemui mangsa yang terselamat," katanya sebaik dua jasad nahas pesawat berkenaan tiba di Landasan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut Juanda 4 petang tadi.
Jasad berkenaan ditempatkan di dua keranda dan diterbangkan menggunakan pesawat Boeing 737 dengan disambut Gabenor Jawa Timur Soekarwo bersama Pengarah Angkasa Pura I Tommy Sutomo dan Ketua Badan SAR Nasional Jawa Timur Hernanto.
Keranda itu tiba Hospital Bhayangkara 5.36 petang tadi.
Soekarwo berkata, proses pengecaman mangsa akan dilakukan di sini sebelum diserahkan kembali kepada pihak keluarganya.
"Proses untuk kemungkinan seminggu atau dua minggu namun pihak berkenaan sedang berusaha menyelesaikannya secepat mungkin.
Dalam pada itu, Detik.com melaporkan lima lagi jasad mangsa nahas pesawat berkenaan dijangka diterbangkan dari Pangkalan Bun ke Surabaya malam ini, jika keadaan cuaca mengizinkan
"Dua jasad sudah tiba di Hospital Bhayangkara Surabaya untuk proses pengecaman. Jika cuaca malam ini baik, lima jasad lagi akan diterbangkan dari Pangkalan Bun ke Surabaya.
"Apapun bergantung kepada keadaan cuaca di sana," kata Gabenor Jawa Timur, Soekarwo.

0 Komentar untuk "10 jasad ditemui, empat oleh TLDM"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info