ShareThis to the world!

Peluang Mourinho malukan Real

MIAMI, Florida - Jose Mourinho berpeluang membuktikan penghijrahannya ke Chelsea adalah tepat dan berbaloi apabila bertemu bekas kelabnya, Real Madrid pada final Piala Juara Antarabangsa, awal pagi esok.
Walaupun perlawanan itu sekadar aksi pemanas badan menjelang musim baharu, ia dilihat tetap penting buat pengendali dari Portugal itu dalam menjawab persoalan, mengapa Real tidak begitu menyinar sepanjang eranya sebagai jurulatih sebelum ini?
Malah perasaan kecewa tidak dihormati presiden, penyokong dan pemain Real sendiri seperti Iker Casillas dan Cristiano Ronaldo, membuatkan semangatnya membuak-buak untuk 'mengajar' bekas kelabnya itu.
"Madrid adalah politik. Madrid bukan tentang bola sepak atau tentang sukan," kritik Mourinho Ahad lalu tentang mainan politik dalaman Real sepanjang eranya.
Beliau turut menyerang imej Ronaldo dengan menyifatkan pemain itu tidak sehebat mana. Ronaldo pula pantas membalas kenyataan Mourinho itu.
"Kami akan menentang Chelsea dan bukan pengurusnya. Walaupun ia sekadar persahabatan, kami tetap mahu menang.
"Saya tidak mahu meludah ke langit dan kemudian terkena ke muka sendiri. Saya lebih suka melihat sisi positif Mourinho dan perlawanan itu nanti," kata Ronaldo.
Berbekalkan pemain terbaik yang dimilikinya di Chelsea ketika ini, Mourinho juga mahu menunjukkan kepada presiden Real, Florentino Perez bahawa wang bukanlah segala-galanya untuk berjaya.
Buktinya Mourinho enggan berbelanja besar. Selepas gagal membawa masuk Radamel Falcao dan Edinson Cavani, dia hanya dilihat berminat dengan pemain lebih murah, Wayne Rooney. - AFP


0 Komentar untuk "Peluang Mourinho malukan Real"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info