ShareThis to the world!

‘Jangan nilai sekarang’

SKUAD Harimau Muda tiba di KLIA petang semalam selepas ‘berguru’ lima bulan di benua Eropah.


SEJAUH mana keberkesanan Harimau Muda ‘berguru’ di Eropah hanya boleh dinilai pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.
Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar kecil) berkata, sebarang spekulasi negatif yang mendakwa anak-anak buahnya sekadar ‘makan angin’ ekoran beberapa keputusan kurang memberangsangkan semasa aksi persahabatan di Eropah wajar dihentikan segera.
Sebaliknya, Kim Swee mencabar ‘kejantanan’ setiap pemainnya berjuang bermati-matian dalam usaha melakar kejayaan hatrik ‘ibu emas’ pada temasya Sukan SEA kelak.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya berazam mahu memburu emas hatrik pada temasya Sukan SEA.
“Soal sama ada latihan kami di Eropah sia-sia ataupun tidak... tunggu Sukan SEA.
“Jika kami gagal melangkah ke separuh akhir Sukan SEA nanti, barulah boleh kata sia-sia,” katanya kepada pemberita sebaik skuad Harimau Muda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang semalam.
Skuad Harimau Muda yang menimba ilmu di Eropah sejak 16 Mac lalu melakar tiga kemenangan, empat seri dan selebihnya tewas sepanjang 17 aksi persahabatan di sana.
Anak-anak buah Kim Swee juga ‘menutup buku’ dengan kekalahan 1-5 kepada kelab liga utama Slovakia, FC Vion pada 31 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Kim Swee juga membayangkan bakal memanggil beberapa pemain baharu seperti Nik Shahrul Azim Halim, Zubir Azmi, K. Reuben dan Putera Nadher Amarhan Maderner atau Junior Edstal bagi menghadapi Pestabola Merdeka yang akan membuka tirainya di Kuantan, Pahang pada 5 September depan.
Menurut beliau, beberapa pemain utama seperti Izzaq Faris Ramlan, Fandi Othman, Amir Saidin dan Nurridzuan Abu Hassan mengalami kecederaan ketika di Eropah dan belum pasti belum dapat beraksi pada kejohanan berkenaan.
“Saya akan menilai semula pemain... mungkin empat atau lima pemain baharu akan dipanggil. Cuma, pemain yang dipanggil perlulah memiliki prestasi semasa yang bagus,” katanya.
Pada masa sama, Kim Swee juga menafikan spekulasi yang mengaitkan beliau sebagai pengganti Datuk K. Rajagobal sebaik kontrak pengendali Harimau Malaya itu tamat pada 31 Disember depan.
“Fokus saya ketika ini hanya mahu memburu emas hatrik temasya Sukan SEA, jadi cukup-cukuplah dan hentikan spekulasi seperti ini,” tegasnya.


Artikel Penuh: www.kosmo.com.
0 Komentar untuk "‘Jangan nilai sekarang’"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info