ShareThis to the world!

Hanif Safuan Jadi Pelakon Kerana Bade Azmi


HIBURAN

Hanif Safuan Jadi Pelakon Kerana Bade Azmi
Hanif banyak belajar selok belok bidang lakonan daripada pengarah terkenal, Bade Azmi.
PETALING JAYA: Pelakon Hanif Safuan mengakui tidak menyangka diberi kepercayaan oleh pengarah terkenal, Bade Azmi untuk membintangi drama Planet Kiara yang disiarkan di TV3 sebagai watak utama.
Hanif, 24, berkata, penglibatannya dalam bidang lakonan adalah secara tidak sengaja apabila menghadiri uji bakat terbuka yang diadakan oleh pengarah tersebut secara suka-suka dan terpilih untuk memegang watak utama dalam drama yang telah pun memasuki musim kedua.
"Saya tidak pernah merancang untuk menjadi seorang pelakon kerana minat saya lebih kepada teater dan fotografi dan pemilihan saya sebagai watak utama dalam Planet Kiara memang diluar dugaan kerana tiada pengalaman yang luas dalam bidang lakonan.
"Tambahan pula semasa uji bakat diadakan ramai pelakon yang sudah mempunyai nama hadir pada hari tersebut," katanya kepada mStar Online.
Planet Kiara musim kedua yang diterbitkan oleh Pusat Sains Negara dan syarikat Bleu Nagas itu disiarkan menerusi slot Akasia setiap hari Selasa hingga Khamis pada pukul 5.30 petang.
Dalam perkembangan sama, Hanif yang juga penuntut tahun akhir Diploma Teknologi Kejuruteraan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, drama berkenaan berbeza kerana banyak menerapkan elemen sains dan teknologi yang cukup berguna terutama kepada pelajar sekolah.
Kata Hanif, setiap episod akan memaparkan konsep sains dan kejuteraan dengan huraian lengkap melalui pemahaman mudah selain elemen drama yang biasa bagi menarik minat penonton.
"Kebetulan bidang yang saya belajar di universiti ada kena mengena dengan sains dan ia menjadi mudah untuk saya memahami setiap perkara yang cuba ditonjolkan dalam drama tersebut," jelasnya.
Drama bersiri 26 episod itu mengisahkan kehidupan keluarga Prof Johari dan anak-anaknya iaitu Adam, Tasya, Cahya, Aril dan sebuah robot bernama PSN-1 dengan pelbagai kisah menarik.
Selain berkalon, Hanif juga seorang jurugambar dan model.
Selain Hanif, ia turut dibintangi pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, Farahdhiya, Sharifah Sakinah dan Heela Monica.
Dalam pada itu, Hanif mengakui dia mengalami kesukaran ketika mula-mula datang ke set penggambaran kerana masih mentah sebagai pelakon namun bertekad untuk belajar daripada pengarahnya, Bade.
Tambah Hanif, pengalaman berlakon teater semasa di UniKL juga turut membantunya untuk menghayati watak yang diberikan selain mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan krew produksi.
"Saya akui sukar tetapi tiada asalah untuk mendalami sesuatu dengan mempelajarinya dan Alhamdulillah dengan sedikit pengalaman di pentas teater dan tunjuk ajar abang Bade yang tidak lokek ilmu membantu saya," katanya yang bakal menjalani penggambaran musim terbaharu Planet Kiara dalam masa terdekat.
Sementara itu, Hanif berkata, walaupun semakin dikenali sebagai seorang pelakon, dia tidak akan meninggalkan bidang fotografi yang diminatinya dan akan meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut.
"Saya memang suka mengambil gambar dan pernah bertindak sebagai jurufoto rasmi untuk konsert Anuar Zain yang diadakan pada awal tahun ini.
"Hobi ini saya anggap sebagai satu cara untuk saya ekspresikan emosi saya secara peribadi yang memberikan banyak kepuasan," katanya yang turut memuat naik gambar-gambar ke dalam blog miliknya iaitu top1photography.wordpress.com.
Dalam perkembangan lain, Hanif berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Fenomena Cinta arahan Shuhaimi Lua untuk siaran RTM.
Hanif bergandingan dengan pelakon Siti Elizad dalam drama tersebut.
sumber:mstar 
0 Komentar untuk "Hanif Safuan Jadi Pelakon Kerana Bade Azmi"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info