ShareThis to the world!

Harimau Malaya 'dibaham' Barcelona


AMRI (kanan) menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya ketika tewas 1-3 kepada Barcelona di Stadium Shah Alam malam tadi.


MESKIPUN beraksi tanpa kelibat bintang sensasi, Lionel Messi, aksi Barcelona masih mampu memukau hampir 40,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium Shah Alam malam tadi.
Diketuai kapten Xavier Hernandez selain barisan bintang lain antaranya Andres Iniesta, Cesc Fabregas, Gerard Pique serta permata baharu Neymar, Barcelona ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila meraih kemenangan 3-1.
Biarpun tumbang, Harimau Malaya boleh menghela nafas lega kerana tidak diratah kelab gergasi Sepanyol itu yang sebelum ini membelasah kelab Brazil, Santos 8-0 dan skuad Bawah 23 tahun Thailand, 7-1.
Pada aksi malam tadi, skuad The Catalan terlebih dahulu menguji kekebalan benteng pertahanan Harimau Malaya menerusi percubaan Sergio Busquets tetapi berjaya digagalkan oleh penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat seawal minit ke-17.
Berselang dua minit kemudian, skuad negara hampir berjaya mengejutkan pasukan gergasi Eropah itu sebaik Norshahrul Idlan Talaha berjaya melepasi pertahanan Barcelona yang diketuai oleh Gerard Pique tetapi percubaan penyerang Johor Darul Takzim itu sekadar terkena tiang gol lawan.
Barcelona akhirnya membuka jaringan menerusi Fabregas apabila bekas pemain Arsenal itu tidak bermasalah memanfaatkan hantaran pemain pertahanan kiri, Jordi Alba pada minit ke-33.
Bintang Selangor, Mohd. Amri Yahyah menceriakan peminat-peminat Harimau Malaya apabila menjaringkan gol penyamaan, sekali gus menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-40.
Begitupun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila Barcelona sekali lagi berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan Neymar pada minit ke-42 dan keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad The Catalan terus mengasak benteng pertahanan skuad negara dan hasilnya mereka berjaya meledak gol ketiga menerusi Pique pada minit ke-75.
Skuad negara yang terdesak untuk mengurangkan defisit jaringan, gagal menjelmakan gol kedua apabila keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas menentang Barcelona, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal bakal bertemu China untuk aksi pemanas badan pada 10 September depan.


sumber: http://www.kosmo.com.my
0 Komentar untuk "Harimau Malaya 'dibaham' Barcelona"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info