SHAH ALAM – Sukarnya mengungkapkan perasaaan apabila kehilangan orang yang tersayang. Sayu dan hiba tatkala menemui beberapa orang anak yatim dan asnaf di Program ‘Jom Beli Baju Raya’ anjuran Takaful Ikhlas Sdn Bhd baru-baru ini.
Apa tidaknya, melihat keletah si kecil yang masih belum mengenal erti kehidupan sebenar, terpaksa menempuh hidup tanpa kehadiran insan tersayang. Apa perasaan mereka?
Tidak tergambar rasanya menyambut Aidilfitri tanpa ibu dan ayah di sisi. Bagi gadis muda berusia 14 tahun, Siti Aishah Zainuddin yang berasal dari Klang, kehilangan ayah tahun lalu benar-benar merobek hatinya.
Perginya seorang ayah benar-benar memberi kesan kepada anak gadis yang masih mentah ini.
Tatkala rakan sebayanya bahagia menyambut Aidilfitri bersama kedua ibu bapa, Aishah tidak lagi berpeluang merasai nikmat itu di pagi raya.
“Raya tanpa ayah tahun ini.
“Sedih tetapi hendak buat macam mana, ALLAH lebih menyayangi ayah,” luahnya hiba namun cukup kuat gadis ini, detik hati penulis.
Apa yang menyentuh perasaan penulis lagi, apabila ditanya apakah kenangan paling manis beliau ketika menyambut Adilfitri sebelum ini, beliau menjawab dapat menyambut Aidilfitri bersama ayah.
“Kenangan paling indah raya saya ialah dapat bersalam dengan ayah. Dapat mintak maaf dengan ayah, waktu itulah saya rasa saat paling bahagia, ya ALLAH indahnya dapat bersama ayah,” katanya.
Perasan ini dikongsi dengan adiknya Melati Munawarah Zainuddin yang baru berusia Sembilan tahun.
Ketika penulis mengajukan soalan bagaimana sambutan Aidilfitri tahun ini, dia hanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Namun hati penulis terdetik dia pasti merindui ayahnya.
“Adik tidak tahu hendak sambut raya dengan siapa tahun ini.
“Ayah dah tiada, harap ALLAH ampunkan dosa ayah tempatkan dikalangan golongan orang beriman…rindu dekat ayah,” katanya.
Manakala menurut adik Amirul Ashraf, 16 tahun yang berasal dari Puchong, sambutan Aidilfitrinya pula biasa-biasa sahaja.
“Raya saya macam biasa sahaja. Hanya dapat bersama keluarga dan kawan-kawan,” katanya.
Dalam Program tersebut seramai 35 anak-anak yatim dan asnaf menerima baju raya sumbangan Takaful Ikhlas Sdn Bhd, di Pusat Membeli-Belah AEON, Bukit Tinggi.
Selain baju raya, mereka juga turut menerima duit raya RM150 setiap seorang.
-sinarharian
0 Komentar untuk "‘Kalau lah ayah ada, rindu salam ayah…’"