ShareThis to the world!

Luahan hati Suarez


London: Penyerang Liverpool dari Uruguay, Luis Suarez mendakwa kelab Liga Perdana Inggeris itu sengaja tidak mahu menghormati kandungan kontraknya yang menyebut pemain itu dibenarkan untuk berhijrah.
Suarez mengulangi impiannya untuk menyertai kelab yang beraksi pada Liga Juara-Juara dan berkata Liverpool tidak merujuk kepada perjanjian bertulis yang mereka tandatangani Ogos tahun lalu yang menyebut kelab boleh menjual pemain itu andai ada pihak yang sanggup menawarkan yuran perpindahan melebihi £40 juta (RM199 juta).

“Tahun lalu, saya berpeluang untuk berpindah ke kelab Eropah tetapi saya mengambil keputusan untuk kekal dan saya difahamkan, sekiranya Liverpool gagal untuk ke Liga Juara-Juara, saya akan dilepaskan,” katanya kepada akhbar Guardian.
“Apa yang saya harapkan, Liverpool menghormati perjanjian.” Arsenal dilaporkan sudah membuat bidaan melebihi RM199 juta untuk mendapatkan penyerang kontroversi itu tetapi Liverpool tetap enggan melepaskannya.

Liverpool tetap mempertahankan kontrak yang menyebut mereka hanya akan berbuat demikian jika mendapat bidaan yang difikirkan cukup tetapi Suarez tidak bersetuju dengan tindakan majikannya itu.

“Saya berpegang kepada janji kelab dan kontrak yang kami persetujui. Jika perlu, saya gembira jika perkara ini dirujuk kepada pihak Liga Perdana untuk diselesaikan tetapi kalau boleh, saya tidak mahu sampai ke tahap itu,” katanya.
“Saya sudah berusia 26 tahun. Saya perlu beraksi di Liga Juara-Juara. Saya sudah menunggu selama setahun dan tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan saya tidak melakukan tugas saya dengan bersungguh-sungguh.” Suarez tiba di Liverpool pada Januari 2011 selepas berpindah dari Ajax tetapi sepanjang berada di Anfield, dia sering dikaitkan dengan pertuduhan membabitkan perkauman ketika berbalah dengan pemain Manchester United, Patrice Evra selain didapati bersalah menggigit pemain Chelsea, Branislav Ivanovic.

Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers meminta Suarez supaya terus kekal di Liverpool sebagai membalas kepercayaan dan sokongan peminat.
“Terdapat banyak spekulasi menjelang hujung musim lalu tetapi secara hakikatnya, dia adalah pemain yang sangat dihormati dan diperlukan di Liverpool.” - AFP
0 Komentar untuk "Luahan hati Suarez"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info