ShareThis to the world!

Penyelamat berkejar ke bandar terputus hubungan

BEBERAPA buah rumah runtuh akibat dilanda Taufan Utor kelmarin.- Agensi


MANILA - Petugas-petugas penyelamat di Filipina menggunakan helikopter dan jentolak untuk sampai ke beberapa buah bandar yang terputus hubungan akibat Taufan Utor semalam.
Ribut itu menyebabkan kemusnahan besar dengan berpuluh-puluh ribu orang terpaksa berpindah.
Kerajaan melaporkan bahawa dua orang disahkan terbunuh manakala 11 yang lain masih hilang selepas Utor melanda utara negara itu kelmarin.
Taufan itu merupakan ribut paling kuat yang melanda Filipina sepanjang tahun ini.
"Banyak pokok tumbang, bumbung rumah tercabut, tiang dan menara pencawang elektrik turut runtuh," kata jurucakap Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara, Reynaldo Balido.
Filipina merupakan antara negara paling cenderung dilanda taufan terutamanya melibatkan ribut yang berasal dari Lautan Pasifik.
Beratus-ratus orang mati akibat sekitar 20 taufan atau ribut tropika yang melanda Filipina setiap tahun.
Biro kaji cuaca menyatakan, Utor membadai Filipina pada kelajuan 200 kilometer sejam (km/j) awal kelmarin.
Bandar-bandar yang terputus hubungan itu dihuni sekitar 45,000 orang dan terletak di pantai timur Pulau Luzon, utara Filipina.
Jurucakap tentera untuk utara Filipina, Mejar Ernesto Garcia berkata, pasukan tentera terpaksa melepasi halangan tanah runtuh di jalan raya untuk sampai ke lokasi itu.
Menurutnya, mereka melihat kerosakan besar menimpa dengan banyak rumah dan bangunan yang rosak tetapi penduduk melaporkan tiada kemalangan jiwa berlaku.
"Askar-askar sudah berada di kawasan tersebut untuk menjalankan kerja menyelamat, membersihkan jalan dan mengagihkan bantuan," katanya.
Tiga helikopter tentera juga dihantar ke lokasi itu untuk membawa bantuan dan beberapa pakar bagi menilai keperluan jangka panjang mangsa Utor.
Dalam pada itu, Palang Merah Filipina menyatakan, angka kemalangan jiwa yang kecil dalam bencana itu antara lain disebabkan oleh persediaan awal penduduk
"Lokasi itu kerap dilanda taufan, justeru mereka tahu bagaimana untuk berurusan dengan bencana itu," kata ketua agensi bantuan Kristian, Joe Curry.
Namun begitu, lebih 30,000 orang terpaksa tinggal di beberapa kem perlindungan sementara semalam selepas Utor memusnahkan lebih 2,000 kediaman di Filipina.
Dua kematian yang disahkan melibatkan seorang lelaki yang mati lemas dengan mangsa kedua ditimbus tanah runtuh.
Setakat petang semalam, Utor berada di Laut China Selatan dan bergerak menuju ke Hong Kong serta selatan China pada kelajuan 175km/j. - AFP


 
0 Komentar untuk "Penyelamat berkejar ke bandar terputus hubungan"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info