ShareThis to the world!

Zaid kritik Pak Lah

zaid-kita

SHAH ALAM – Faktor kegagalan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi fokus artikel yang ditulis Datuk Zaid Ibrahim dalam buku Awakening: The Abdullah Years In Malaysia.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau menulis artikel berkenaan berdasarkan pandangan ikhlasnya mengenai pemerintahan Abdullah setelah diminta penerbit buku itu.
“Tulisan saya berkisar kepada hasrat Pak Lah yang ingin buat perubahan. Bagaimanapun, saya melihat perubahan itu gagal dicapai kerana dua faktor.
“Pertama, tiada sokongan daripada Umno terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kedua ialah sikap Pak Lah sendiri yang tidak sanggup mempertahankan diri atas segala kritikan dilemparkan terhadap beliau,” katanya kepada Sinar Harian.
Buku tersebut mencetus kontroversi apabila Abdullah menafi bahawa beliau menulis, menaja atau meminta supaya buku itu diterbitkan.
Abdullah berkata ekoran isu tersebut mendapat liputan luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen.
“Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri.
“Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Nama Abdullah makin disebut-sebut apabila buku itu dilancarkan oleh anak kepada Ketua Pembangkang, Nurul Izzah Anwar.
“Oleh kerana saya bukan penerbit, pencetak, pengarang ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab di atas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan buku tersebut.
“Berita yang mengatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura – kalaupun benar – adalah keputusan penerbit buku, bukan saya,” tegasnya. – AP
0 Komentar untuk "Zaid kritik Pak Lah"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info