ShareThis to the world!

Artisan Tawar Beli Kopi Dengan Kangkung



TIDAK diketahui tujuan sebenar sebuah premis menjual kopi di ibu negara apabila menerima sayur kangkung sebagai bayaran untuk secawan kopi.

Sebuah kedai kopi Artisan Coffee di Bangsar mengambil kesempatan di atas isu Kangkung dengan mengenakan bayaran seikat kangkung untuk secawan kopi.

Tawaran itu jelas diterima secara menggalakkan oleh orang ramai apabila mengunjungi premis itu dan membayar secawan minuman kopi mereka dengan sayur Kangkung.

Sayur berkenaan turut diletakkan di atas meja sebagai hiasan kepada para pengunjung kedai itu.

Menurut beberapa pengunjung, mereka melihat status berkenaan tawaran itu di Facebook pada 15 Januari lepas dan berpendapat ia adalah sesuatu yang menarik untuk mendapat kopi secara percuma.

“Saya membaca mengenainya di Facebook malam tadi, dan saya beranggapan ia amat seronok kerana kebetulan saya akan melalui kawasan itu untuk pergi menonton wayang di pusat membeli-belah berdekatan,” kata seorang pengunjung Jessica yang merupakan seorang pelajar.

Video berkenaan tawaran kopi itu disiarkan oleh Kini TV, saluran Youtube milik laman web Malaysiakini.

Kebanyakan pengunjung yang datang ke premis berkenaan dilihat mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran kenyataannya mengambil contoh sayur kangkung sebagai antara barangan keperluan makanan yang sudah turun harganya.

Dalam jawapannya kepada kritikan orang ramai yang sudah tersebar luas di internet Najib berkata beliau mengambil contoh barang makanan yang disukai oleh kebanyakan orang.

“Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung…(sebab itu) saya beri contoh yang semua orang makan. Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu sahaja makan.

“Tidak seharusnya contoh itu dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip ‘supply and demand’ (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga kawalan,” katanya.

Bagaimanapun tidak diketahui sampai bila atawaran membeli kopi dengan sayur kangkung akan terus dibuat oleh premis Artisan Coffee di Bangsar. – IBNU K
0 Komentar untuk "Artisan Tawar Beli Kopi Dengan Kangkung"

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info