KUALA LUMPUR — Nasib penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas, terjawab malam tadi menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
Berdasarkan rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.
“Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi,” kata Najib
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing apabila dilapor hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut.
Pada Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil.
Pihak berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu. – BERNAMA
0 Komentar untuk "Hanya Kotak Hitam Dapat Selesaikan Misteri MH370"