Kehamilan di luar rahim bermaksud kehamilan yang membesar di luar rahim ibu dan dikenali sebagai kehamilan ektopik. Dalam kebanyakan kes kehamilan di luar rahim, implantasi berlaku dalam salur Fallopio atau salur peranakan. Apabila kehamilan ini berkembang, ia menyebabkan kesakitan dan pendarahan dan jika dibiarkan, salur Fallopio tersebut boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan dalaman. Ini merupakan kes kecemasan dan boleh mengancam nyawa. Kehamilan seperti ini tidak bertahan lama kerana ia tidak dapat dialihkan ke dalam rahim dan harus digugurkan sepenuhnya.
Keadaan ini biasanya dikenal pasti antara minggu keempat dan ke-10. Simptom-simptomnya biasa berlaku kira-kira dua minggu selepas tidak datang haid.
Ada beberapa simptom awal yang boleh membantu mengenal pasti kehamilan di luar rahim seperti:
*Pendarahan faraj yang tidak normal
*Sakit yang teruk dan berterusan di satu bahagian pada bawah perut
Rawatan
Jika anda mengalami simptom-simptom yang disebutkan di atas, jumpalah doktor dengan segera atau pergi ke hospital. Jika salur Fallopio anda telah pecah, anda perlu terus dibedah tetapi dalam kebanyakan kes, kehamilan di luar rahim dapat dikesan awal dan ujian-ujian dapat dilakukan dan pembedahan (jika perlu) dapat dirancang.
Anda mungkin akan menjalani pemeriksaan dalaman untuk mengesan lokasi kehamilan serta ujian kehamilan yang sensitif. Ujian darah akan mengukur tahap hormon chorionic gonadotrophin (hCG). Ia akan memberitahu bukan sahaja sama ada anda hamil atau tidak, malah akan menunjukkan sama ada tahap hCG anda lebih rendah daripada yang normal, yang mana merupakan satu tanda kehamilan di luar rahim.
Doktor akan menjalankan pemeriksaan imbasan ultrabunyi melalui faraj, memandangkan kehamilan ini mungkin tidak dapat dikesan melalui imbasan pada perut. Kadangkala, keputusannya tidak tepat dan anda mungkin perlu membuat imbasan lagi selang beberapa hari.
Jika kehamilan di luar rahim ini dikesan, pakar bedah akan menggunakan kaedah laparoskopi untuk memotong salur Fallopio dan mengeluarkan kehamilan tersebut. Salur tersebut tidak akan dipotong jika ia boleh dibaiki. Laparoskopi lebih baik daripada pembedahan terbuka kerana pembedahan ini lebih cepat; kurang darah yang hilang semasa pembedahan ini; anda tidak perlu tinggal lama di hospital dan kurang ubat penahan sakit diperlukan.
Dalam sesetengah kes, pemindahan darah mungkin diperlukan untuk menggantikan darah yang hilang jika salur Fallopio telah pecah dan doktor biasanya akan mencadangkan pembedahan secara terbuka (laparotomi).
Sama ada salur Fallopio dan kehamilan itu dikeluarkan bersama-sama, atau kehamilan dikeluarkan dan salur Fallopio dibaiki bergantung kepada tahap kerosakan salur tersebut; tahap kesihatan salur Fallopio yang satu lagi dan keinginan anda untuk hamil lagi. Dalam sebilangan kes, biasanya dalam kes-kes yang salur tersebut dapat diselamatkan (kira-kira empat peratus dengan kaedah pembedahan lubang kunci dan lapan peratus dengan kaedah pembedahan terbuka), kehamilan tersebut terus berlangsung dan memerlukan ubat metotreksat yang menggugurkan kehamilan, atau pembedahan susulan untuk mengeluarkannya. Metotreksat kadangkala boleh digunakan untuk merawat kehamilan di luar rahim dan pesakit tidak perlukan pembedahan. Rawatan ini lebih efektif pada awal kehamilan, apabila hormon kehamilan masih pada tahap rendah dan ia boleh digunakan jika tiada pendarahan berlaku dan tiub tersebut belum pecah. Kehamilan itu akan gugur dan diserap oleh si ibu, yang kemudiannya akan mengalami pendarahan selama beberapa minggu.
Dalam kes-kes tertentu, jika kehamilan di luar rahim dikesan dari awal lagi tetapi lokasi sebenar belum dipastikan, tiada rawatan akan dicadangkan. Ini dipanggil pengurusan ekspektasi atau ‘tunggu dan lihat’. Dalam kes ini, banyak kehamilan di luar rahim yang gugur dengan sendirinya, terutamanya dalam kes tiada pundi telur dikesan dan hormon kehamilan masih di tahap sangat rendah.
Dalam kes-kes ini, pengurusan ekspektasi dapat mengelakkan pembedahan sehinggalah ia tidak dapat dielakkan lagi. Namun, ini berlaku dalam kira-kira satu perempat daripada kes tersebut.
sumber: mummynemo.com
0 Komentar untuk "Kehamilan Luar Rahim|Simptom Simptom Dan Rawatan Kehamilan Luar Rahim"