ShareThis to the world!

Ulasan "Lemak Kampung Santan"


Bintang
Keseluruhan: 4 bintang
Pelakon: 3.5 bintang
Plot: 4 bintang
Efek: 4 bintang
Sinematografi: 4 bintang

Tonton filem ini jika anda suka "Wawa Semput", "Awan Dania The Movie"

Filem "Lemak Kampung Santan" (LKS) merupakan buah tangan terbaru syarikat produksi filem milik Hans Isaac, Tall Order Production dan diarahkan sendiri oleh Hans Isaac yang juga merupakan pelakon utama filem ini bergandingan dengan pelakon jelita, Neelofa sangat tidak mengecewakan penulis.

LKS telah pun menemui penonton di pawagam-pawagam di seluruh negara pada Hari Raya pertama iaitu pada 8 Ogos lalu.

Pada mulanya penulis berfikiran filem bergenre romantik komedi ini akan sama seperti filem romantik komedi yang pernah dihasilkan sebelum kerana jalan cerita untuk filem bergenre ini seperti agak klise.


Namun, sangkaan penulis bahawa filem LKS ini akan sama seperti filem-filem sebelum ini meleset, malah penulis sendiri tidak menjangkakan dan suka dengan idea kreatif pengarah yang bijak menghasilkan 'twist' dalam jalan cerita ini.

Jadi tidak hairanlah kenapa filem yang menjalani penggambaran sekitar tahun 2011 mengambil masa yang agak lama untuk ditayangkan kerana proses pasca-produksi filem ini mengambil masa selama setahun untuk disiapkan, malah dalam filem ini juga turut menggunakan teknik penjanaan imej berkomputer (CGI).


Filem LKS yang dibintangi Hans Isaac, Neelofa, Khir Rahman, Natasha Hudson, Awie dan ramai lagi ini mengisahkan mengenai Ridzuan (Hans), seorang pemuda bandar yang bekerja sebagai pereka binaan di sebuah syarikat terkemuka ibu kota. Dia mempunyai seorang kekasih bernama Sofia (Natasha Hudson) yang juga bekerja di syarikat sama. Mereka berdua dibantu Badrul (Khir Rahman) dalam menjalankan projek pembangunan sebuah pusat peranginan mewah di Kampung Santan.

Tiqa (Neelofa), anak gadis kepada Pak Wan (Harun Salim Bachik), bekerja sebagai penjual nasi lemak di Kampung Santan. Pada suatu hari secara tidak sengaja, Ridzuan dipertemukan dengan Tiqa dalam satu kejadian. Pertemuan kali pertama ini telah membuahkan bibit-bibit cinta antara mereka. 


Dari segi lakonan, rasanya anda semua pastinya sudah tahu bakat serta mutu lakonan para pelakon yang membintangi filem ini tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatan mereka. Walaupun ini merupakan kali pertama Hans Isaac bergandingan dengan Neelofa, namun mereka memberikan lakonan terbaik, dan tidak lupa juga kepada pelakon-pelakon lain yang membantu dalam menjayakan setiap watak.


Dari aspek sinematografi pula, penulis berikan pujian kepada pengarah sinematografi kerana syot-syot yang dipaparkan nyata lain daripada filem-filem yang ada ditambah dengan teknik CGI yang digunakan nyata membuatkan filem LKS selangkah kehadapan daripada filem bergenre sama lain.

Kesimpulan yang penulis katakan di sini adalah, filem LKS yang diberikan sentuhan kreatif oleh pengarah ini telah berjaya mengubah persepsi penulis terhadap filem bergenre romantik komedi. Ia sebuah filem yang bagus dan dijadikan sebagai penanda aras baru untuk filem bergenre romantik komedi ini. 

sumber:Tupai.com






0 Komentar untuk "Ulasan "Lemak Kampung Santan""

 
Copyright © 2014 Media CBS! - All Rights Reserved
Template By Catatan Info