JIKA ada yang masih ingat, beberapa tahun lalu heboh cerita mengenai seorang suami dari China yang sanggup mencerai dan menyaman isterinya kerana melahirkan anak yang hodoh.
Cerita yang tersebar itu ‘dikukuhkan’ lagi apabila gambar seisi keluarga mereka menjadi viral di media sosial.
Bagaimanapun, setelah tiga tahun menerima pelbagai tohmahan dan cacian, wanita dalam gambar tersebut, Heidi Yeh akhirnya tampil mendedahkan perkara sebenar.
Dalam satu sidang media, Yeh yang juga seorang model memberitahu, semenjak gambar itu menjadi viral, dia bagaikan hidup dalam neraka kerana sukar untuk mendapat tawaran peragaan selain dicaci oleh orang ramai yang memanggilnya plastik.
Jelas Yeh, berita yang tersebar itu adalah tidak benar kerana gambar yang menjadi viral itu sebenarnya adalah gambar bagi sesi penggambaran sebuah iklan klinik kosmetik dan dia cuma seorang model bagi iklan tersebut.
Difahamkan, klinik hanya bersetuju untuk menggunakan gambar itu di dalam iklan bercetak namun selepas itu ianya turut digunakan dalam iklan online sekali gus, membuatkan gambar tersebut menjadi viral di media sosial.
Iklan pembedahan plastik itu berbunyi “Satu-satunya benda yang kamu akan risau adalah bagaimana untuk memberitahu anak-anak“.
Tidak tahan lagi dengan pelbagai dugaan yang diterima, Yeh memberitahu dia kini dalam proses untuk menyaman agensi pengiklanan yang terlibat dan juga klinik kosmetik tersebut sebanyak 785,000 yuan atau RM514,000. – MYNEWSHUB.CC
0 Komentar untuk "TERBBONGKAR!!! CERITA SEBENAR''‘Suami Saman Isteri Kerana Anak Hodoh’ Terbongkar"